PNB bayar agihan pendapatan RM14.5 bilion tahun lalu

Perniagaan

PETALING JAYA: Permodalan Nasional Berhad (PNB) mencatatkan rekod agihan pendapatan dan bonus sebanyak RM14.5 bilion kepada pemegang unitnya bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024, lebih tinggi berbanding RM13.3 bilion yang diagihkan tahun sebelumnya.

Pencapaian itu didorong oleh persekitaran makroekonomi dan pasaran modal yang positif serta strategi kepelbagaian aset yang berterusan, dengan jumlah pendapatan bersih kumpulan
PNB meningkat 30.2 peratus daripada RM13.04 bilion pada 2023 kepada RM16.97 bilion.

PNB terus menjadi syarikat pengurusan aset pilihan utama yang dipercayai oleh semua rakyat Malaysia, dengan bilangan pemegang akaun unik dan jumlah akaun masing-masing meningkat ke paras tertinggi iaitu 13.1 juta dan 16.2 juta.

Sehubungan itu, jumlah pertumbuhan aset di bawah pengurusan (AUM) telah kembali pulih, mencecah RM348.3 bilion, meningkat daripada RM337.0 bilion pada 2023.

Pengerusi Kumpulan PNB, Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda berkata, Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) telah mengagihkan dividen tertinggi, sekali gus memberi manfaat kepada semua rakyat Malaysia.

Ujarnya, ini terbukti dengan dana utamanya, Amanah Saham Bumiputera (ASB) mengagihkan jumlah pendapatan sebanyak 5.75 sen, iaitu yang tertinggi dalam tempoh lima tahun terakhir.

“Kesemua 18 dana Harga Tetap (FP) dan Harga Berubah (VP) kami telah mengatasi penanda aras masing-masing, dengan 11 daripada 12 dana VP kami tersenarai di kuartil pertama atau kedua dalam kumpulan setara mereka.

“Prestasi ini secara positif mencerminkan daya tahan jangka panjang PNB dalam merealisasikan matlamatnya untuk mengukuh kedudukan kewangan rakyat, merentasi generasi,” katanya dalam kenyataan sempena Laporan Bersepadu bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 (IR2024).

Sementara itu, Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Datuk Abdul Rahman Ahmad berkata, tahun ini, memandangkan perkembangan geopolitik terkini dan perubahan asas dalam dasar perdagangan Amerika Syarikat, kumpulan perlu bersikap realistik mengenai keadaan makroekonomi dan pasaran modal yang akan menjadi semakin tidak menentu dan berisiko tinggi pada tahun hadapan.

“Bagi menghadapi cabaran ini, PNB akan terus teguh melaksanakan inisiatif strategik merentasi enam teras yang telah kami bangunkan di bawah Pelan Strategik kami.

“Fokus kami kekal untuk melestarikan prestasi dana-dana kami melalui strategi kepelbagaian aset yang berterusan, selaras dengan komitmen kami untuk memberikan pulangan yang konsisten dan berdaya saing kepada pemegang unit kami,” katanya.

Katanya, cabaran yang lebih mendesak kini ialah untuk menggalakkan rakyat Malaysia menabung lebih banyak dan melabur bersama ASNB memandangkan perubahan tabiat perbelanjaan, ditambah dengan tekanan terhadap pendapatan boleh guna bersih, telah mengurangkan kecenderungan rakyat Malaysia untuk menabung secara sukarela berbanding lima atau 10 tahun lalu.

“Namun begitu, kami optimis dapat mengatasi perkara ini dengan memperkukuhkan keupayaan jualan dan pengedaran kami, disokong oleh inovasi produk, program literasi kewangan, serta perluasan platform pengedaran,” tambahnya. – UTUSAN