PH tiada usaha jatuhkan kerajaan BN Johor

Politik

ISKANDAR PUTERI: Pimpinan Pakatan Harapan (PH) Johor tiada usaha untuk menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang memimpin negeri ini.

Ketua Pengimbang, Andrew Chen Kah Eng berkata, PH Johor juga tidak berhasrat untuk melumpuhkan imej kerajaan negeri ketika ini dengan bercakap tentang politik, sebaliknya akan terus berperanan sebagai pengimbang yang konstruktif dengan memberi teguran serta cadangan membina demi kepentingan rakyat.

“Kami juga sentiasa dan sedia berbincang dengan kerajaan Johor sebarang dasar yang berkait rapat dengan kepentingan bangsa Johor.

“Kami akan terus berkhidmat kepada rakyat dan fokus dengan tanggungjawab sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) seperti yang disarankan Pemangku Sultan Johor,” katanya dalam sesi perbahasan titah Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kota Iskandar, di sini hari ini.

Menurutnya, PH Johor sentiasa terbuka untuk mengadakan perbincangan mengenai kerjasama politik, khususnya dalam menghadapi pilihan raya pada masa akan datang.

Beliau yang juga Setiausaha DAP Johor berkata, perbincangan tersebut masih boleh dilakukan kerana penggal DUN Johor akan berakhir April 2027.

“Ramai yang tertanya-tanya apakah hala tuju politik Johor? Bilakah PRN Johor akan diadakan? Apakah bentuk kerjasama yang akan ditonjolkan?

“Ini adalah kerana keunikan keadaan politik Johor di mana di peringkat Persekutuan, hubungan PH dan BN adalah Kerajaan Perpaduan, manakala di peringkat negeri hubungan BN-PH adalah antara kerajaan dan pengimbang,” katanya.

Setakat ini, masih belum ada sebarang keputusan diputuskan oleh pimpinanan tertinggi setiap parti.

Menurutnya, dalam usaha mengekalkan hubungan baik BN-PH di Johor, pihaknya akan membantu mengekalkan keteguhan hubungan di peringkat Persekutuan, seterusnya mengukuhkan kestabilan politik kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri. – UTUSAN