KDN FC, Annuar ‘bersatu’ demi bola sepak

Sukan

KOTA BHARU: Kelab Bola Sepak Kelantan Darul Naim (KDN FC) terbuka untuk bersatu dengan Tan Sri Annuar Musa dalam usaha melonjak semula ‘roh’ sukan berkenaan di negeri ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Irwan Rizal Mohd. Ali Napiah berkata, pengalaman, kepakaran dan rangkaian dimiliki tokoh itu amat dialu-alukan dalam membantu pasukan.

“Kita tidak mahu menidakan jasa, pengalaman dan kepakaran yang dimilik Annuar. Apa yang beliau buat hantaran (laman sosial Facebook), bagi pihak pengurusan kita tidak menidakan perkara tersebut.

“Kita harga pengalaman dan kepakaran beliau (Annuar). Perkara itu membantu persiapan kelab secara keseluruhan,” katanya kepada pemberita selepas majlis ramah mesra bersama kelab penyokong dan peminat bola sepak Kelantan di sini malam tadi.

Sebelum ini Annuar yang dikenali sebagai bapa pembangunan bola sepak Kelantan membuat beberapa hantaran di laman sosial Facebook miliknya berkaitan dengan perkembangan terkini KDN.

Tindakan Annuar itu memberi ‘isyarat’ kesediaan beliau untuk membantu memulihkan semula sukan bola sepak di Kelantan.

Sepanjang menggalas tanggungjawab sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) bermula 2009 sehingga 2016, Annuar berjaya menamatkan penantian selama 89 tahun apabila Kelantan menjulang kejuaraan Piala Malaysia buat kali pertama dalam sejarah pada 2010.

Annuar terus mencipta fenomena, apabila Kelantan meraih kejuaraan treble pada tahun 2012 sekali gus meletakan The Red Warriors (TRW) sebagai pasukan gergasi dalam arena bola sepak Malaysia ketika itu.-UTUSAN