PETALING JAYA: Kumpulan Affin mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM124.1 juta pada suku pertama tahun kewangan berakhir 31 Mac 2025, meningkat berbanding RM110.2 juta yang dilaporkan pada suku sama tahun sebelumnya.
Keuntungan sebelum cukai (PBT) selepas zakat adalah sebanyak RM178.2 juta bagi suku dikaji, melonjak 23.7 peratus berbanding RM144 juta yang dicatatkan dalam tempoh sama 2024.
Prestasi lebih baik didorong terutamanya oleh pendapatan bersih yang meningkat sebanyak RM39.4 juta kepada RM543 juta bagi tempoh tersebut.
Pinjaman dan pembiayaan kasar menandakan pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 7.1 peratus, mencapai nilai RM72.9 bilion, berbanding RM68.0 bilion pada 31 Mac 2024.
Deposit pelanggan meningkat sebanyak 5.2 peratus kepada RM75.5 bilion, manakala nisbah akaun semasa dan akaun simpanan (CASA) terus meningkat dengan ketara kepada 32.2 peratus pada tempoh tersebut, berbanding 24.9 peratus tahun sebelumnya.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Wan Razly Abdullah berkata, prestasi suku pertama mencerminkan pelaksanaan berterusan Pelan AFFIN Axelerate 2028 (AX28) dengan PBT meningkat 23.7 peratus tahun ke tahun kepada RM178.2 juta.
Katanya, ini disokong oleh pendapatan faedah bersih yang lebih tinggi, campuran pendanaan yang lebih baik dan sumbangan yang lebih kukuh daripada syarikat bersekutu.
“Di tengah-tengah persekitaran kewangan yang sentiasa ketat dan tekanan makroekonomi global yang berterusan, kami terus melaksanakan disiplin kos dan kredit yang berhemat.
“Walaupun kami kekal berhati-hati terhadap unjuran jangka pendek berikutan ketidaktentuan luaran, kami tetap yakin dengan keupayaan kami untuk mengemudi landskap.
“Ini disokong oleh kualiti aset yang sihat, kunci kira-kira yang pelbagai dengan baik dan pelaksanaan yang berdisiplin,” katanya dalam kenyataan.
Beliau memberitahu, pihaknya berbesar hati untuk mengumumkan bahawa penarafan kredit antarabangsa pertama A3 daripada Moody’s Ratings mengukuhkan profil kredit bank dan meningkatkan kedudukan kumpulan dalam pasaran modal global.
Menurutnya, ini meletakkan bank untuk mendapatkan pembiayaan dolar Amerika Syarikat (as) yang lebih cekap kos, mempelbagaikan pangkalan pelabur dan membuka kunci peluang pembiayaan rentas sempadan strategik yang menyokong trajektori pertumbuhan jangka panjang.
“AffinAlwaysX, aplikasi perbankan mudah alih baharu kami berjaya dilancarkan secara dalaman kepada 5,700 pekerja dan menunjukkan prestasi yang baik menjelang pelancaran awamnya pada 22 Mei 2025.
“Direka bentuk dengan ciri UI/UX yang dipertingkatkan, keselamatan yang sangat baik dan peningkatan yang menarik, AffinAlwaysX dijangka memacu pertumbuhan eksponen ke arah sasaran 1.3 juta pengguna yang disokong oleh CASA ini menjelang akhir tahun,” ujarnya. – UTUSAN