KUALA LUMPUR: Hari pertama Kejohanan Badminton Malaysia Masters 2025, telah mencetuskan kekecohan dalam kalangan peminat apabila ‘power bank’ tidak dibenarkan di bawa masuk ke Axiata Arena, Bukit Jalil, dekat sini, hari ini.
Seorang peminat @hidayahosman melalui ciapan di media sosial, X meluahkan rasa kurang puas hatinya kerana telah dihalang oleh staf bertugas daripada membawa masuk ‘power bank’ ke dalam stadium.
Ekoran ciapan tersebut, Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz telah menjawab keluhan peminat itu.
Bukan sekadar membalas ciapan tersebut, malah, Tengku Zafrul yang baharu dilantik sebagai Presiden BAM, awal bulan ini, turut membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi peminat berkenaan.
“Hi Dayah, sepatutnya tiada masalah untuk bawa masuk power bank. Saya difahamkan pada peringkat awal ada silap faham di peringkat tapisan tapi semuanya kita dah beri penjelasan dan sekarang sepatutnya sudah tiada masalah bagi membawa masuk ‘power bank’, selamat menyaksikan perlawanan!,” katanya.
Ekoran jawapan balas yang diberi oleh Tengku Zafrul, @hidayahosman tidak menunggu lama untuk membalas kembali bantuan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri tersebut.
“Hi @tzafrul_aziz dan pasukan @BA_Malaysia. Saya meghargai sokongan anda membenarkan ‘power bank’ di bawa masuk ke dalam Axiata Arena untuk Perodua Malaysia Masters, memandangkan seharian kami berada di sini.
“Isu ini tidak berlaku pada tahun lepas, jadi, saya berharap untuk kali ini pun sama,” katanya. – UTUSAN