CBP perkenal produk takaful kemalangan diri atas talian

Perniagaan

PETALING JAYA: Co-opbank Pertama (CBP) memperkenalkan produk takaful kemalangan diri iaitu Takaful CBP Protect secara atas talian bermula 01 Mei 2025 melalui laman sesawang CBP.

CBP berkata, penawaran secara digital ini merupakan salah satu penambahbaikan bagi produk Takaful CBP Protect ini yang telah diperkenalkan pada 2023.

Produk ini diperkenalkan secara atas talian untuk menarik minat pelanggan terutama generasi muda yang memerlukan perlindungan komprehensif pada harga mampu milik dan proses penyertaan yang mudah serta cepat tanpa memerlukan pemeriksaan kesihatan.

Ketua Pegawai Komersial CBP, Mohd. Faris Kamarudin berkata, CBP menjalinkan kerjasama dengan Syarikat Takaful Malaysia Berhad (STMB) dan rakan strategik, Senang io serta Sedania As Salam Capital sebagai pengendali platform digital untuk penambahbaikan ini.

”Melalui proses digitalisasi ini, CBP boleh memperkukuhkan kehadiran dalam pasaran digital serta menarik lebih ramai pelanggan untuk melanggan Takaful CBP Protect dengan lebih mudah dan pantas”, katanya dalam satu kenyataan.

CBP amat komited untuk terus mambangunkan produk dan perkhidmatan yang mampu milik secara atas talian bagi menarik semua terutamanya golongan muda yang memerlukan perlindungan. – UTUSAN