PKR Kelantan pilih Nurul Izzah

Politik

KOTA BHARU: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kelantan memilih Nurul Izzah Anwar sebagai calon pilihan bagi jawatan timbalan presiden pada pemilihan parti hujung bulan ini.

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Keadilan Kelantan, Datuk Seri Mohamad Supardi Md. Noor berkata, keputusan tersebut kerana pihaknya mahu seorang timbalan yang mampu menggalas tugas-tugas parti dan tidak terlalu bergantung kepada Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang perlu menjaga negara selaku Perdana Menteri.

Katanya, selain itu sokongan tersebut tidak bermakna PKR Kelantan menolak kepimpinan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli sebaliknya lebih memandang kepada hala tuju, masa hadapan parti dan bagi meraikan amalan demokrasi.

“Paling utama kita mahu pemimpin yang mampu menarik sokongan kepada parti dan dalam aspek ini, kita perlu terima hakikat komponen pengundi terbesar adalah wanita dan anak muda. Tambahan pula di Kelantan.

“Sekarang ada dua calon menawarkan diri untuk jawatan timbalan presiden dan kita perlu pilih yang terbaik. Bagi PKR Kelantan, Nurul Izzah adalah yang terbaik kerana ada daya kepimpinan dan sosok tubuh untuk masa hadapan.

“Beliau baru berusia 45 tahun yang kami anggap masih dalam kalangan anak muda dan beliau adalah seorang wanita,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Minum Petang Penasihat PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail bersama PKR Kelantan, di sini hari ini.

Mohamad Suparadi memberitahu, isu Nurul Izzah mahu bertanding tidak ada kena mengena dengan nepotisme dan perkara tersebut perlu dilihat dari sudut biologi sebaliknya kepimpinan dan hala tuju parti.

“Kita sokong kerana Nurul Izzah telah berada dalam arus perjuangan PKR sejak dari awal ia ditubuhkan. Tinggal lagi beliau tidak pernah berpeluang mendapat jawatan yang baik dalam parti,” ujarnya–UTUSAN