PEOPLElogy mula disenarai di Pasaran ACE

Perniagaan

KUALA LUMPUR: PEOPLElogy Bhd, penyedia penyelesaian pembangunan modal insan bersepadu membuat kemunculan sederhana di Pasaran ACE Bursa Malaysia hari ini, apabila dibuka di bawah harga tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak 25 sen.

Kaunter itu mula diniagakan pada 24 sen, dengan 1.3 juta saham bertukar tangan dalam dagangan awal.

Bagaimanapun, pada pukul 9.23 pagi, saham itu meningkat kepada 26 sen kenaikan empat peratus susulan minat belian aktif, dengan jumlah dagangan meningkat kepada 21.1 juta saham.

IPO Peoplelogy melibatkan terbitan awam sebanyak 167.84 juta saham baharu yang berjaya mengumpul RM41.96 juta.

Pengarah Eksekutif Bukan Bebas dan Pengarah Urusannya, Allen Lee berkata, prestasi harga saham pada hari penyenaraian tidak dapat dielakkan daripada dipengaruhi sentimen pasaran semasa.

Ujarnya, syarikat meletakkan kedudukan secara berbeza dalam industri, sekali gus menjadikannya unik dan mungkin sukar difahami oleh sesetengah pelabur.

“Mungkin pelabur mempunyai pandangan tersendiri. Namun bagi kami, matlamat masih jelas untuk membawa syarikat ke hadapan mengikut landasan yang ditetapkan.

“Kami tidak dapat mengawal sentimen pasaran, tetapi saya percaya seluruh pasukan komited untuk melakukan yang terbaik demi melindungi kepentingan awam,” katanya dalam sidang media selepas penyenaraian syarikat itu di Pasaran ACE Bursa Malaysia hari ini.

Mengulas mengenai pengembangan syarikat, Allen berkata, syarikat kini giat menyasarkan pasaran antarabangsa menjelang tahun hadapan.

Menurutnya, Sabah dan Sarawak merupakan keutamaan mereka diikuti oleh Singapura, Filipina dan Indonesia

“Kami tahu potensi besar di pasaran tersebut, dan sasaran kami adalah untuk berkembang ke sana menjelang 2026.

“Kami sudah mengenal pasti beberapa strategi untuk pasaran Indonesia dan Filipina dan keyakinan kami berdasarkan penyelidikan pasaran. Setiap syarikat yang kami temui menyukai kerangka kerja kami iaitu, Discover (Kenal Pasti), Design (Reka Bentuk), Develop (Bangunkan), Deploy (Laksanakan), Digitise (Digitalisasi) dan Digitalise (Pendigitalan) atau lebih dikenali sebagai rangka kerja 6D.

“Kami bukan pesaing mereka, tetapi pelengkap. Dengan rangka kerja 6D, mereka boleh menjana pelbagai aliran pendapatan.

“Kami faham kami bukan berasal dari negara-negara tersebut, jadi kami mengambil masa untuk memahami dasar dan undang-undang tempatan sebelum masuk ke pasaran mereka,” katanya. – UTUSAN