PETALING JAYA: Malaysia perlu merangka strategi rundingan yang lebih teratur dan menyeluruh melibatkan pelbagai kementerian serta pemain industri bagi memastikan kemajuan dalam rundingan tarif import dengan Amerika Syarikat (AS) menjelang sesi susulan yang dijadualkan pada Julai ini.
Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Norlin Khalid berkata, tempoh dua bulan yang ada dilihat terlalu singkat untuk mencapai persetujuan konkrit, meskipun lawatan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI)ke Washington baru-baru ini membuka ruang positif.
“Perubahan dasar perdagangan AS memerlukan penelitian rapi melibatkan pelbagai pihak berkepentingan di negara itu dan Malaysia tidak boleh bergantung kepada isyarat awal semata-mata.
“Kita perlu segera menyenaraikan produk keutamaan, menyediakan data sokongan dan membina naratif bersama sebagai asas kepada rundingan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau berkata, sektor elektrik dan elektronik (E&E), teknologi hijau serta komponen berasaskan prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) wajar diberi keutamaan kerana mempunyai nilai tambah tinggi dan berpotensi besar untuk kedua-dua negara.
“Nilai tambah Malaysia dalam aspek pematuhan piawaian buruh dan alam sekitar perlu diketengahkan, memandangkan ia menjadi penanda aras penting dalam dasar perolehan AS.
“Jika Malaysia dapat mengemukakan justifikasi yang kukuh dan selaras antara MITI, Kementerian Kewangan dan Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), kita berpeluang mencapai kemajuan awal seperti persetujuan prinsip atau pelancaran mekanisme fasilitasi dagangan baharu,” ujarnya.
Mengulas peranan Malaysia pada Sidang Kemuncak ASEAN minggu hadapan, Norlin berkata, Malaysia boleh mengetuai usaha merangka pendekatan serantau dalam menghadapi implikasi dasar tarif AS terhadap ekonomi negara-negara ASEAN.
“Negara ini perlu menggunakan platform itu untuk mengemukakan cadangan konkrit bagi mempertahankan daya saing rantau, terutama dalam sektor strategik seperti semikonduktor, agrikomoditi dan teknologi digital.
“Selain itu, Malaysia boleh mengusulkan penubuhan Forum Semakan Tarif ASEAN-AS sebagai platform tetap menyemak dan menangani isu tarif secara kolektif, secara tidak langsung mencerminkan kesediaan ASEAN bertindak secara bersepadu dan tersusun,” katanya.
Beliau berkata, inisiatif Malaysia penting bagi mengelakkan pendekatan berasingan dalam kalangan negara anggota yang boleh menjejaskan integrasi ekonomi serantau.
“Malaysia juga disaran menerajui penyediaan matriks kesan tarif ASEAN bagi mengenal pasti sektor paling terdedah kepada dasar perdagangan AS.
“Analisis kos-manfaat yang menyeluruh bukan sahaja memperkukuh kedudukan rundingan ASEAN dengan AS, malah mendorong tindak balas yang lebih strategik, proaktif dan berpandangan jauh,” katanya.
Tambahnya, Malaysia juga perlu memperkukuh hujah bahawa pengurangan tarif terhadap produk ASEAN mampu memberi manfaat langsung kepada AS, terutama dari aspek kestabilan harga pengguna dan keselamatan rantaian bekalan global.
“Antara sektor yang boleh diberi tumpuan termasuk tenaga bersih, bateri kenderaan elektrik (EV) dan keselamatan makanan yang sejajar dengan kepentingan strategik Washington,” katanya. – UTUSAN