PETALING JAYA: Perdagangan Malaysia meningkat 18.2 peratus tahun ke tahun kepada RM261.94 bilion pada April, menjadikan nilai bulanan tertinggi yang pernah dicatatkan sejak Ogos 2022, disumbangkan oleh pertumbuhan kukuh dua digit eksport dan import pada bulan ini.
Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) berkata, eksport mengembang 16.4 peratus kepada RM133.56 bilion, manakala import naik 20 peratus kepada RM128.37 bilion pada April.
“Lebihan dagangan yang ke-60 bulan berturut-turut telah direkodkan sejak Mei 2020, bernilai RM5.19 bilion.
“Pertumbuhan eksport itu telah didorong terutamanya oleh permintaan kukuh bagi barangan perkilangan, terutamanya barangan elektrik dan elektronik (E&E), yang mencatatkan peningkatan hampir RM16 bilion.
“Sektor penting yang lain adalah keluaran pertanian, terutamanya minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit yang turut memberi sumbangan kepada pengembangan keseluruhan eksport,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, dari segi pasaran, pertumbuhan eksport yang kukuh dicatatkan ke negara rakan dagang utama, iaitu ASEAN, China, Amerika Syarikat (AS), Kesatuan Eropah (EU) dan ke Taiwan yang mencapai rekod tertinggi baharu.
“Sementara itu, jumlah eksport ke rakan dagang Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) kembali meningkat dengan kukuh.
“Selain itu, antara pasaran yang mencatatkan pertambahan eksport ialah Mexico, India dan Republik Korea (ROK) yang disumbangkan oleh kenaikan eksport barangan E&E,” katanya.
Bagi tempoh Januari hingga April 2025, perdagangan, eksport dan import mencatatkan nilai tertinggi yang pernah direkodkan bagi tempoh ini.
“Perdagangan meningkat 7.2 peratus tahun ke tahun kepada RM977.61 bilion, eksport naik 7.3 peratus kepada RM511.92 bilion dan import bertambah 7.0 peratus kepada RM465.69 bilion.
“Lebihan dagangan mencatatkan pertumbuhan dua digit 10.4 peratus kepada RM46.23 bilion,” katanya.
Tambahnya, eksport bersih telah menyumbang kepada pencapaian pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Malaysia sebanyak 4.4 peratus pada suku pertama 2025, menurut laporan Bank Negara Malaysia (BNM).
“Selain itu, laporan terkini Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) turut melaporkan, peningkatan kedudukan Malaysia ke tangga ke-24 dalam perdagangan global tahun 2024, berbanding kedudukan ke-26 pada 2023,” katanya. – UTUSAN