IMOLA: Ketua pasukan Ferrari, Fred Vasseur mahu reaksi berlebihan yang diberikan terhadap prestasi pelumbanya, Lewis Hamilton dalam saingan Formula Satu (F1) pada musim ini dihentikan.
Juara dunia tujuh kali itu mengalami permulaan tidak menentu sejak menyertai Ferrari selepas berpindah dari Mercedes pada musim sejuk lalu, dengan pasukan Itali itu berdepan permulaan kempen yang suram.
Ferrari sebelum ini diramal menjadi pencabar terdekat McLaren sebelum saingan bermula tetapi kini sudah ketinggalan 165 mata di belakang juara bertahan selepas tujuh pusingan dalam musim 2025.
Selain meraih petak utama dan memenangi perlumbaan pecut di Grand Prix (GP) China, serta menamatkan perlumbaan pecut Miami di tempat ketiga, musim ini banyak memberi kekecewaan kepada Hamilton.
Pelumba dari Britain itu bagaimanapun menunjukkan kebangkitan mengagumkan dari petak ke-12 di Imola untuk menamatkan perlumbaan di tempat keempat, mengatasi rakan sepasukan Charles Leclerc buat kali pertama musim ini, keputusan terbaiknya dalam GP bersama Ferrari.
Namun, Vasseur berhati-hati untuk membuat kesimpulan terhadap prestasi Hamilton kerana pelumba itu masih dalam proses penyesuaian bersama pasukan paling berprestij dalam F1 selepas 12 musim bersama Mercedes.
“Kita perlu hentikan perkara ini di mana jika Lewis mempunyai hujung minggu yang baik, semuanya dianggap sempurna, dan jika tidak, semuanya dianggap sebagai bencana.
“Setiap pelumba bekerja ke atas dirinya sendiri, bekerjasama dengan pasukan, cuba membangunkan sesuatu, cuba melakukan tugas dengan lebih baik.
“Bukanlah pada malam Sabtu dia tidak bersedia atau tidak selesa dengan kereta, dan pada hari Ahad dia tiba-tiba menjadi ahli magis dan semuanya sempurna. Kita hanya perlu kekal tenang.
“Memang benar kita perlu memperbaiki komunikasi, pemahaman terhadap proses, alat, perisian dan sebagainya tetapi sejujurnya dia lakukan tugas yang sangat baik di China, langkah demi langkah kita akan sampai ke tahap itu,” kata Vasseur. – AGENSI