KOTA BHARU: Bapa pembangunan bola Sepak Kelantan, Tan Sri Annuar Musa nekad untuk memastikan Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) tidak menjadi pasukan belasahan atau ‘lauk’ dalam saingan Liga Super musim 2025/2026.
Annuar menerusi tulisan di entri laman sosial Facebooknya hari ini memberitahu, banyak kejutan yang bakal muncul selepas ini dan KDN akan bersaing di Liga Super.
“Insya-Allah…kita urus cara kita sertabelajar dari kelemahan masa lalu,” katanya.
Annuar berkata, semua impian tersebut mampu direalisasikan dengan satu syarat iaitu semua pihak perlu bersatu hati dan bersedia berkhidmat untuk bola sepak Kelantan serta Malaysia.
“Liga Malaysia (Liga M), insya_Allah tidak akan mati. Kita harus berikhtiar dan usah tuding jari. Semua pihak sudah menyumbang,” ujarnya.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, KDN FC terbuka untuk bersatu dengan Annuar dalam usaha melonjak semula ‘roh’ sukan berkenaan di negeri ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Irwan Rizal Mohd. Ali Napiah berkata, pengalaman, kepakaran dan rangkaian dimiliki tokoh itu amat dialu-alukan dalam membantu pasukan.-UTUSAN