Strategi Nguyen buat Jun Hao hilang rentak

Sukan

KUALA LUMPUR: Perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao mengakui perubahan taktikal lawannya, Nhat Nguyen menjadi faktor utama dia tersingkir seawal pusingan pertama Malaysia Masters 2025, hari ini.

Perseorangan lelaki negara itu tewas 21-10, 18-21, 9-21 dalam pertemuan sulung mereka yang berlangsung selama 74 minit di Axiata Arena, Bukit Jalil.

“Dia (Nguyen) ubah strategi pada set kedua dan ketiga, dan saya jadi tak selesa serta hilang arah. Dia lebih agresif dan saya tak dapat sesuaikan diri.

“Saya baru pulih daripada kecederaan lengan kanan, ini aksi pertama saya selepas berehat. Jadi saya cuma buat yang terbaik dengan apa yang ada,” kata Jun Hao kepada pemberita selepas perlawanan, hari ini.

Ketika ditanya mengenai perancangannya, Jun Hao masih belum membuat keputusan untuk menyertai Terbuka Singapura dan Indonesia, sebaliknya akan menilai tahap kesihatan dalam beberapa hari akan datang.

Dalam pada itu, hasrat beregu campuran baharu negara Chen Tang Jie-Chan Wen Tse untuk melangkah lebih jauh tidak kesampaian apabila tewas kepada pasangan China, sebentar tadi.

Tang Jie-Wen Tse mempamerkan aksi luar biasa pada set pertama pada akhirnya tewas juga kepada pilihan ketujuh kejohanan, Cheng Xing-Zhang Chi 22-20, 21-15. – UTUSAN