Nik Nazmi, Aminuddin, Lih Kang antara senarai pasukan Rafizi

Politik

PETALING JAYA: Calon Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli mengemukakan senarai cai pilihan gagasan Hiruk yang diangkat menjadi tema pasukannya dalam pemilihan PKR pada Jumaat ini.

Beliau mendedahkan senarai tersebut dalam saat-saat akhir menjelang hari pemilihan PKR yang berlangsung pada Jumaat ini.

Seperti dijangka, Rafizi menyenaraikan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang; Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad; Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Aminuddin Harun sebagai pasukan Naib Presiden pilihannya.

Menarik perhatian, Setiausaha Politik kepada Presiden PKR, G Manivanan juga menjadi pasukan pilihan Hiruk yang bertanding sebagai Naib Presiden.

Dalam pada itu, Rafizi juga menyenaraikan 25 nama yang mana barisan itu menggabungkan mereka gandingan muka lama dan baharu dalam kalangan wakil rakyat dan pemimpin akar umbi.

Antaranya Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir; Ahli Parlimen Gopeng, Tan Kar Hing; Ahli Parlimen Subang; Wong Chen; Ahli Parlimen Wangsa Maju, Zahir Hassan; Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung; Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh; Ahli Parlimen Batu Pahat, Onn Abu Bakar dan Ahli Parlimen Sungai Siput, S Kesavan.

Selain itu, Exco Pulau Pinang, Fahmi Zainol; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rawang dan Ahli Dewan Negara, Bob Manolan Mohamad.

Rafizi menegaskan, beliau telah menerima pelbagai pandangan dan mesej daripada anggota akar umbi yang mahukan barisan kepimpinan yang teguh membawa semangat reformasi, setia dan bukan sekadar mengejar kedudukan.

“Cabaran kita hari ini adalah memilih pimpinan yang mampu kekal berpegang kepada idealisme reformasi, walaupun diuji dengan kuasa. Kita berdepan persaingan daripada pelbagai kumpulan, tetapi masa depan parti hanya boleh dibina oleh mereka yang sudah teruji dan kekal setia pada prinsip,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, Hiruk atau Hidupkan Idealisme Reformasi dalam Ujian Kuasa bukan sekadar slogan, sebaliknya adalah seruan untuk mengembalikan roh perjuangan PKR agar kita terus berpijak di atas kekuatan sendiri.

“Saya pulangkan pilihan kepada perwakilan dari seluruh negara. Sebagai perwakilan cabang masing-masing, saudara dan saudari membawa suara akar umbi. Tanggungjawab ini besar untuk memastikan parti kekal di landasan reformasi dan tidak tersasar daripada perjuangan asal,” katanya.-UTUSAN