GEORGETOWN: Penang FC dijangka berwajah baharu pada musim depan apabila melepaskan 22 pemain yang memperkuat pasukan ini.
Antara nama yang tidak lagi menabur bakti bersama skuad Harimau Kumbang selepas ini termasuk dua pemain import dari Brazil, Rodrigo Dias dan Neto Oliveira.
Turut tidak disenaraikan ialah pemain pinjaman iaitu Syamer Kutty Abba dari Johor Darul Ta’zim (JDT) dan dua pemain Selangor FC, Richmond Ankrah dan Sikh Izhan.
Nama lain ialah Al-Harun Hafiz, Shafiq Afifi, Daniel Irfan, Khairil Anuar, Rahmat Makasuf, Akif Irfanuddin, Shafi Azswad, Aikmal Roslan, Azrie Reza, Khairu Azrin, Amer Azahar, Azmeer Aris, A Namathevan dan Nabil Latpi.
Seorang lagi pemain iaitu tonggak pertahanan, Fairuz Zakaria pula dipancing oleh kelab Brunei DPMM FC yang dijangka kembali menghangatkan saingan Liga Super musim depan.
Difahamkan, Penang FC kini sedang mengintai beberapa pemain dari kelab lain termasuk yang berstatus pemain kebangsaan untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh 22 pemain itu.
Walau bagaimanapun, setakat ini belum ada pengesahan mengenai nama pemain-pemain daripada pengurusan pasukan buat masa ini.
Sementara itu, kapten, Rafael Vitor yang disebut-sebut bakal dijadikan pemain naturalisasi mendahului senarai nama pemain yang akan kekal bersama Penang FC musim depan.
Turut dikekalkan ialah pemain import dari Australia, Dylan Wenzel-Halls; pemain kebangsaan, Adib Ra’op serta dua pemain muda yang sedang meningkat naik iaitu Nik Akif Syahiran dan Alif Ikmalrizal.-UTUSAN