Djokovic tidak perlukan jurulatih

Sukan

GENEVA: Novak Djokovic menegaskan beliau tidak tergesa-gesa mencari pengganti Andy Murray, sebaliknya selesa mengharungi musim tanah liat tanpa khidmat ketua jurulatih.

Pemain berusia 37 tahun itu bakal membuka kempen di kejohanan pemanas badan di Geneva, Switzerland menentang pemain ranking ke-134 dunia, Marton Fucsovics dari Hungary, menjelang cabaran sebenar di Terbuka Perancis.

“Ketika ini saya tidak perlukan jurulatih. Saya tidak perlu terburu-buru dalam apa jua keadaan, saya selesa dengan pasukan sedia ada dan akan nilai semula selepas beberapa kejohanan akan datang,” kata Djokovic.

Hubungan Djokovic-Murray bermula cemerlang dengan kemenangan ke atas pemain Sepanyol Carlos Alcaraz di Terbuka Australia pada awal tahun ini,.

Bagaimanapun Murray bertindak meninggalkan Djokovic selepas kecederaan memaksa pemain Serbia itu menarik diri di separuh akhir menentang wakil Jerman, Alexander Zverev.

“Kami rasa tiada lagi yang boleh kami hasilkan di atas gelanggang, itu sahaja, tiada isu lain.

“Saya semakin hormat kepadanya selepas lebih mengenalinya secara peribadi. Dia (Murray) benar-benar faham selok-belok permainan dan tahu bagaimana untuk melihat peluang dalam setiap situasi di gelanggang,” katanya.

Djokovic belum menang sebarang perlawanan di gelanggang tanah liat musim ini termasuk tewas awal di Monte Carlo dan Madrid, malah menarik diri dari Terbuka Itali untuk menumpukan persiapan di Geneva.

Bagaimanapun, beliau menegaskan motivasi untuk merebut kejuaraan Grand Slam ke-25 tidak pernah pudar dan yakin dirinya masih mampu menjadi pencabar utama pada Terbuka Perancis di Roland Garros. – AGENSI