Pemilihan PKR: Tiada rombakan Kabinet, tapi tak boleh halang orang punya ‘cita-cita’

Politik

PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi menegaskan, tiada rombakan Kabinet akan berlaku selepas keputusan pemilihan PKR 2025 pada hujung miggu ini.

Perdana Menteri bagaimanapun berkata, beliau tidak boleh menghalang mana-mana pemimpin dalam kerajaan untuk melepaskan jawatan jika tewas dalam pemilihan tersebut.

“Ini pertandingan di antara sahabat-sahabat karib dan kawan-kawan setia, tidak timbul sama  sekali perubahan jemaah Menteri.

“Saya tidak tahu, tapi kita tidak boleh halang orang punya cita-cita (jika ada pemimpin mahu lepaskan jawatan dalam Kabinet). Kalau tanya saya, tiada rencana sama sekali untuk buat apa-apa pun rombakan Kabinet,” katanya ketika ditemui pemberita selepas sesi taklimat bersama Ketua-Ketua Pengarang Media, di Kompleks Seri Perdana, di sini hari ini.

Baru-baru ini, Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli menyatakan kesediaannya untuk melepaskan jawatan dalam Kabinet sekiranya gagal mempertahankan jawatan sebagai Timbalan Presiden PKR dalam pemilihan parti yang dijadual berlangsung pada 24 Mei ini.

Menurutnya, keputusan itu dibuat sebagai langkah menghormati mandat akar umbi, sambil menegaskan bahawa beliau akan terus berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Pandan meskipun tidak lagi menganggotai Jemaah Menteri.

Rafizi kini bersaing dengan anak sulung Perdana Menteri, Nurul Izzah dalam perebutan jawatan nombor dua dalam parti itu.

Anwar yang juga Presiden PKR turut menyeru supaya para perwakilan Kongres Nasional PKR dapat memilih calon yang dapat membantu memperkukuhkan parti dan merangkul segala kekuatan.

Ditanya jika Rafizi tekad mahu melepaskan jawatan, beliau berkata:

“Biar, sembang lah dulu dengan dia, tadi saya di jemaah menteri tadi bincang, tiada apa, biar lah,” katanya.

Pada masa sama, Anwar turut menekankan pertembungan antara pasukan Rafizi dan Nurul Izzah tidak akan menjejaskan kestabilan politik tanah air.

“Tidak (tidak jejas kestabilan politik), kalau tak stabil, jadi dictator dan tiada pertandingan di semua peringkat, jadi kita harus lihat ia positif dan tidak menjejaskan apa-apa,” katanya.

Rafizi dan Nurul Izzah membawa gagasan sendiri sepanjang tempoh kempen ini iaitu Rafizi menamakannya sebagai HIRUK (Hidupkan Idealisme Reformasi Dalam Ujian Kuasa), manakala Nurul Izzah pula dengan DAMAI (Dari Akar, Membina Aspirasi Inklusif).- UTUSAN