Jonassen berdoa Tze Yong tidak cedera serius

Sukan

KUALA LUMPUR: Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Kenneth Jonassen mengakui kebimbangan terhadap kecederaan yang menimpa Ng Tze Yong, namun berharap ia bukan sesuatu yang serius dan hanya melibatkan masalah ringan di bahagian lutut.

Jelas Jonassen, berdasarkan rakaman semula kejadian serta pemerhatian awal di tepi gelanggang, insiden tersebut dipercayai berpunca daripada ketegangan otot susulan pergerakan mengejut ketika aksi menentang Angus Ng dari Hong Kong di Axiata Arena, petang tadi.

“Saya harap bukan kecederaan besar. Memang ada kesan yang dirasai pada lututnya, tapi kami masih menanti laporan penuh selepas imbasan dijalankan esok,” kata Jonassen selepas perlawanan perseorangan lelaki negara, Justin Hoh.

Menurut beliau, rakaman video menunjukkan Tze Yong tergelincir sewaktu cuba menyambut pukulan balas, dan kecederaan itu diharap tidak melibatkan ligamen atau struktur utama lutut kanan pemain berusia 25 tahun itu.

Tambahnya lagi, persembahan Tze Yong ketika set pertama jelas menunjukkan peningkatan yang ketara selepas kembali daripada kecederaan lama, selain tampil lebih berani dan agresif di gelanggang.

“Dia bermain dengan sangat baik. Agresif, bertenaga dan yakin seperti yang kami rancang. Sayangnya, kecederaan itu berlaku ketika dia sedang berada di depan,” jelasnya.

Dalam pada itu, Jonassen menolak faktor keletihan sebagai punca utama insiden tersebut, sambil menjelaskan ianya bukan berpunca daripada beban aksi berturut-turut yang dilalui Tze Yong.

“Kalau berlaku pada penghujung set atau dalam set penentuan, mungkin kita boleh kaitkan dengan keletihan. Tapi ini baru permulaan set kedua. Dia tergelincir, itu sebab utama,” ujarnya.

Kecederaan tersebut nyata mengundang kegusaran dalam kalangan peminat sukan tanah air memandangkan Tze Yong baru sahaja memulakan kempen semula di pentas antarabangsa.

Sebelum ini, beliau berehat hampir setahun selepas mengalami kecederaan serius di bahagian belakang ketika beraksi di Terbuka Malaysia 2024, yang memaksanya menjalani dua pembedahan besar.

Kemunculannya kembali ke arena kompetitif bermula April lalu dalam Kejohanan Badminton Asia (BAC) di Ningbo, China, sebelum menyertai Terbuka Taiwan dan Terbuka Thailand, namun tersingkir awal di kedua-dua kejohanan tersebut. – UTUSAN