Penang Port, BKH ICD tingkat kecekapan logistik di utara Malaysia

Perniagaan

PETALING JAYA: Penang Port Sdn. Bhd. (Penang Port) memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Bukit Kayu Hitam ICD Sdn Bhd (BKH ICD) bagi meningkatkan kecekapan dan kesinambungan ekosistem perdagangan di utara Malaysia.

MoU tersebut juga mencerminkan komitmen kukuh antara dua pemain utama dalam rangkaian logistik serantau untuk memacu kemajuan serta membuka peluang baharu.

Penang Port berkata, perjanjian menggariskan komitmen di antara BKH ICD, sebagai fasilitator perdagangan rentas sempadan di sempadan Malaysia-Thailand dan Penang Port sebagai pintu masuk pelabuhan utama di wilayah utara untuk bekerjasama secara berkesan.

“Objektif utama kerjasama ini adalah untuk memanfaatkan kekuatan dan kepakaran unik masing-masing yang telah terbukti melalui pengalaman operasi, bagi mempertingkatkan aliran barangan, menyelaraskan proses dan seterusnya memberikan nilai tambah yang lebih besar kepada perniagaan merentasi utara Malaysia atau melaluinya.

“BKH ICD telah membina reputasinya sebagai penggerak utama perdagangan antarabangsa, menyediakan penyimpanan kawalan kastam yang penting, pengendalian kontena yang efisien serta penyelesaian pergudangan yang komprehensif di pintu masuk Bukit Kayu Hitam,” demikian menurut kenyataan.

Penang Port yang menjadi tunjang kepada infrastruktur maritim di rantau ini menawarkan akses yang dipercayai kepada laluan perkapalan antarabangsa dan memainkan peranan penting dalam menghubungkan industri tempatan dan pasaran global.

Menurut Penang Port, kedua-dua pihak berhasrat untuk mewujudkan rantaian nilai logistik yang lebih berintegrasi dan responsif dengan melalui kerjasama yang lebih erat.

“Antara manfaat yang dijangkakan termasuk pengurangan masa transit, peningkatan kecekapan operasi serta pembangunan penyelesaian inovatif yang mampu memenuhi keperluan komuniti perdagangan yang semakin berkembang.

“MoU ini mewujudkan asas untuk kerjasama masa hadapan dan penerokaan bersama serta mencerminkan komitmen terhadap dialog terbuka dan perkongsian amalan terbaik,” ujarnya.

Kedua-dua organisasi akan terus mengekalkan kebebasan masing-masing serta keupayaan untuk menjalinkan kerjasama lain secara berasingan, yang menyumbang kepada persekitaran
yang dinamik dan berdaya saing.

“MoU ini menekankan visi bersama ke arah rangka kerja logistik yang lebih lancar dan saling berhubung di utara, yang akhirnya bakal merangsang pertumbuhan ekonomi rantau ini,” jelasnya. – UTUSAN