LONDON: Selepas gagal meraih sebarang mata di Le Mans, Francesco Bagnaia akan meneruskan usahanya untuk mendapatkan keyakinan bahagian hadapan jentera Ducati GP25 pada MotoGP British hujung minggu ini.
Bagnaia berjaya mengurangkan kerugian engan menaiki podium dalam lapan daripada sepuluh perlumbaan pertama, rentak positif pelumba dari Itali itu terhenti dengan kemalangan awal dalam saingan pecut di Perancis, 10 Mei lalu.
Nasib malang terus menghimpit Bagnaia apabila dia terlibat dalam insiden dengan bekas rakan sepasukan, Enea Bastianini pada perlumbaan utama Grand Prix (GP) Perancis, sebelum menyambung saingan dan menamatkannya di tempat ke-16.
Bagnaia kini mengharapkan perlumbaan di litar Silverstone berjalan dengan lancar, di mana dia meraih kemenangan pada 2022 serta podium pada 2023 dan 2024 agar dapat membantu mengembalikan keyakinannya.
“Hujung minggu di Le Mans tidak memberikan banyak kepuasan. Saya laju dan kompetitif sejak hari Jumaat, tetapi dua kemalangan dalam perlumbaan menghalang saya daripada mengutip mata
“Matlamat saya adalah untuk mendapatkan lebih keyakinan pada bahagian hadapan supaya saya boleh menunggang seperti yang saya mahukan.
“Saya sentiasa kuat di Silverstone dalam beberapa tahun kebelakangan ini, saya suka trek dan suasananya, dan saya tidak sabar untuk kembali bekerja di garaj,” kata Bagnaia.
Kegagalan meraih sebarang mata di Le Mans bermakna Bagnaia tidak dapat mengambil alih kedudukan pendahulu kejuaraan walau apa pun yang berlaku hujung minggu ini.
Rakan sepasukannya di pasukan kilang Ducati, Marc Marquez kini mendahului senarai kejuaraan dengan 171 mata mengatasi adiknya Alex dari Gresini Ducati dengan 22 mata, manakala Bagnaia ketinggalan 51 mata. – AGENSI