Brown umum gantung but

Sukan

LONDON: Bekas fullback England, Mike Brown bakal menggantung but pada penghujung musim ini, sekali gus menamatkan karier profesionalnya yang penuh warna dengan mesej perpaduan buat pihak berkepentingan sukan ragbi.

Pemain berusia 39 tahun itu diumumkan akan bersara oleh kelabnya, Leicester Tigers, setelah mencipta 72 penampilan bersama England dari 2007 hingga 2018 dan pernah dinobatkan sebagai Pemain Kejohanan Enam Negara pada 2014.

“Selepas banyak pertimbangan, saya rasa kini masa yang tepat untuk mengundurkan diri daripada ragbi profesional dan secara rasmi bersara daripada sukan yang telah membentuk hidup saya dalam pelbagai cara,” kata Brown.

Sepanjang 16 tahun bersama Harlequins, Brown menjulang dua kejuaraan Liga Perdana Inggeris dan satu Piala Cabaran Eropah sebelum berpindah ke Newcastle Falcons pada 2021 dan menyertai Leicester dua tahun kemudian.

Brown pernah tercicir daripada skuad England menjelang Piala Dunia 2019 selepas insiden pertengkaran dengan rakan sepasukan, Ben Te’o, menyebabkan kedua-duanya tidak disenaraikan oleh ketua jurulatih ketika itu, Eddie Jones.

Dalam surat perpisahannya, Brown turut menyeru para pemilik kelab, eksekutif liga dan badan pentadbir sukan agar bersatu demi kelangsungan masa depan ragbi yang lebih gemilang.

“Harapan saya agar anda semua dapat bersatu, fikirkan masa depan yang lebih jauh, dan buat keputusan berani serta tidak mementingkan diri demi membolehkan ragbi berkembang semula,” katanya. – AGENSI