Bursa Malaysia lancar Skim Shares2U bagi ganjaran pelabur runcit

Perniagaan

PETALING JAYA: Bursa Malaysia melancarkan Shares2U, sebuah skim pemindahan sekuriti yang membolehkan Organisasi Penyertaan (PO) memberikan saham kepada pelabur runcit sebagai ganjaran.

Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Fad’l Mohamed berkata, pelancaran Shares2U sejajar dengan matlamat syarikat untuk meningkatkan inklusiviti dan penyertaan pelabur runcit, yang merupakan pemangkin utama kepada kecergasan pasaran modal.

Katanya, Shares2U adalah contoh bagaimana industri bertindak balas terhadap perubahan tingkah laku dan keutamaan pelabur.

“Pelabur masa kini, terutamanya generasi muda yang celik digital, mengharapkan lebih daripada sekadar akses. Mereka mahukan nilai, personalisasi dan pengalaman yang menarik.

“Shares2U memberi kuasa kepada PO untuk memenuhi jangkaan ini sekali gus memupuk penyertaan runcit yang lebih meluas,” katanya selepas melancarkan Shares2U di Bursa Malaysia di sini.

Pelancaran Shares2U adalah sebahagian daripada usaha lebih luas Bursa Malaysia untuk mengubah cara industri berhubung dengan pelabur, terutamanya dalam kalangan generasi muda yang celik digital.

Penyertaan runcit dianggap penting untuk pasaran modal yang berdaya tahan, dan inisiatif ini bertujuan untuk meningkatkan penglibatan melalui insentif tingkah laku dan pengalaman pelaburan yang diperibadikan.

Fad’l berkata, inisiatif ini bertujuan untuk memupuk pasaran modal yang lebih inklusif dan dinamik iaitu ganjaran melalui saham, PO boleh memberikan saham kepada pelabur yang melakukan tindakan tertentu seperti membuka akaun Sistem Penyimpanan Pusat (CDS), mendepositkan dana atau melaksanakan dagangan.

“Skim ini direka untuk menyasar kumpulan pelabur utama dengan pendekatan berasaskan digital, membolehkan PO melaksanakan kempen inovatif di luar strategi pemasaran tradisional.

“Tujuh PO, termasuk AmInvestment Bank, CGS International Securities Malaysia, Hong Leong Investment Bank, Kenanga Investment Bank, Malacca Securities, Maybank Investment Bank, dan Moomoo Securities Malaysia, akan mengguna pakai Shares2U dalam kempen akan datang.

“Skim ini disokong oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SSM), yang memberikan panduan dan pengawasan peraturan untuk memastikan perlindungan pelabur yang kukuh,” katanya. – UTUSAN