Joshua muncul juara Kejohanan Golf Jemputan Remaja 2025

Sukan

PETALING JAYA: Persiapan rapi selama dua minggu bagi menghadapi Kejohanan Golf Jemputan Remaja 2025 akhirnya membuahkan hasil apabila pemain muda negara, Joshua Lim dinobatkan sebagai juara.

Joshua melakukan 217 pukulan menewaskan Lee Shu dari Taiwan dan pemain Korea Selatan Kang Geon yang masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga selepas membuat 218 pukulan dalam kejohanan yang berlangsung selama tiga hari bermula Selasa lalu di The Royal Selangor Golf Club (RSGC).

“Setiap hari selama dua minggu saya berlatih bagi menajamkan corak permainan saya sebab saya tahu pertandingan ini sangat tegang jadi saya perlu bersedia.

“Saya dipaksa bekerja keras selama tiga hari ini sebab lapangan yang sukar dan semua pemain beraksi dengan baik. Saya gembira sebab saya dapat menjuarainya.

“Ini gelaran utama saya menangi dan saya berasa sangat gembira dan sudah tentu ibu saya juga gembira. Saya sangat gembira sebab saya dapat mengawal mental saya dengan cabaran yang dihadapi kerana mental saya sering tewas pada penghujung saingan,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Joshua turut berkata dia berjaya mengawal mentalnya dengan baik apabila hanya memberi fokus kepada permainan sendiri dan tidak fikir secara berlebihan.

Bagi saingan wanita pula menyaksikan wakil dari Singapura, Amelie Ng muncul juara dengan mengumpul 223 pukulan manakala tempat kedua dimenangi Vichayada Reammuang dari Thailand (226 pukulan) dan ketiga milik pemain negara, Jamie Tan Huan Ying (230 pukulan). – UTUSAN