PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memutuskan untuk memanggil semula semua individu yang dikaitkan dalam skandal rasuah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, keputusan itu dibuat susulan laporan forensik rakaman video membabitkan ADUN Sabah yang tular di laman media sosial tahun lalu.
Beliau berkata, laporan forensik itu telah siap dan diserahkan kepada pegawai penyiasat sejak minggu lalu.
“Arahan saya adalah pegawai penyiasat perlu memanggil semula semua mereka yang dikatakan terbabit sama ada dalam video itu, yang memegang video itu dan sebagainya untuk dirakamkan percakapan bagi menentusahkan isu atau kandungan dalam video berkenaan,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.
Katanya, beliau tidak boleh memberi sebarang ulasan tentang hasil daripada video itu sama ada ia tulen atau tidak.
Azam berkata, beliau memberi tempoh sebulan kepada pegawai penyiasat untuk melengkapkan siasatan kes itu.
Sebelum ini, seramai lapan ADUN Sabah dipanggil semula dan video terbabit dimainkan di hadapan mereka untuk mendapatkan penjelasan mengenai apa yang berlaku.
Baru-baru ini, tular beberapa rakaman video yang didakwa menunjukkan perbualan berkaitan rasuah antara individu tertentu dan beberapa wakil rakyat Sabah berhubung isu pelesenan mineral di negeri itu. – UTUSAN