KUALA LUMPUR: Beregu lelaki utama negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani bakal bertemu rakan senegara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun pada aksi suku akhir Malaysia Masters, esok.
Pasangan No.2 dunia itu mudah ke mengatasi pasangan Taiwan, Chen Zhi Ray-Lin Yu Chieh 21-19, 21-13 dalam masa 30 minit pada aksi pusingan kedua hari ini di Axiata Arena, Bukit Jalil.
Sze Fei berkata sokongan padu peminat di laman sendiri menjadi salah satu kunci kemenangan mereka sekali gus menghampiri sasaran untuk menjuarai kejohanan berkenaan.
“Saya rasa strategi jurulatih yang diberi sangat berguna dan ianya menjadi. Saya sangat berterima kasih kepada peminat tanah air yang memberi sokongan kepada kami dan ianya memberi motivasi,” kata Sze Fei kepada pemberita selepas perlawanan, hari ini.
Untuk rekod, kali terakhir pasangan profesional itu berada di separuh akhir Malaysia Masters adalah pada lapan tahun lalu dan turut menjadi naib juara pada edisi 2017 berkenaan.
Dalam pada itu, Wei Chong-Kai Wun akhirnya berjaya menamatkan kemarau ke suku akhir selepas menundukkan wakil Jepun dalam pusingan kedua Malaysia Masters 2025, hari ini.
Pasangan pilihan keenam kejohanan itu menampilkan aksi meyakinkan apabila mudah menewaskan Hiroki Midorikawa-Kyohei Yamashita 21-17, 21-12 dalam masa hanya 32 minit.
Ia merupakan penampilan suku akhir pertama buat gandingan No. 7 dunia itu sejak menjuarai Indonesia Masters, Januari lalu.
Kai Wun berkata, kemenangan ini menyuntik semangat keyakinan mereka semula selepas tersingkir awal pada empat kejohanan berturut-turut sebelum ini.
“Mara ke suku akhir ini mungkin pun bagi kita ada keyakinan lebih sikitlah. Kita bangkit perlahan-lahan dan menemui rentak semula,” kata Kai Wun kepada pemberita selepas perlawanan hari ini.
Untuk rekod, Wei Chong-Kai Wun tewas pada dua pertemuan terakhir mereka ke atas Sze Fei-Izzuddin iaitu pada Terbuka Jerman 2022 serta Terbuka China pada tahun lalu. – UTUSAN