Andalusia, AirArabia bekerjasama sedia 10,000 tempat duduk musim umrah depan

Perniagaan

KUALA LUMPUR: Andalusia Travel and Tour Sdn. Bhd. (Andalusia) menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) bersama syarikat penerbangan AirArabia bagi penyediaan 10,000 tempat duduk musim umrah 1447 hijrah dengan nilai kontrak berjumlah RM31 juta.

Pengarah dan Penasihat Undang-Undang Andalusia, Ida Riswana Idris berkata, kerjasama itu dilihat sebagai langkah strategik yang memberi impak besar kepada sektor pelancongan umrah dan haji negara.

“Inisiatif ini bukan sahaja berjaya menurunkan kos ibadah, malah mengekalkan kualiti pengalaman jemaah secara menyeluruh.

“Ia turut membuka laluan lebih luas kepada rakyat Malaysia untuk meneroka dunia Islam sebelum ke Haramain, menjadikan ibadah umrah sebagai satu pengalaman holistik merangkumi aspek ilmu, ziarah, sejarah dan spiritual

“Walaupun AirArabia berpangkalan di Sharjah, Emiriah Arab Bersatu (UAE), tempoh transit yang ditawarkan adalah singkat dan selesa, sekali gus membolehkan jemaah tiba ke destinasi dengan lebih cepat tanpa keletihan.

“Penerbangan transit ini sangat mesra pelanggan. Setibanya di Sharjah, para jemaah akan dibantu oleh pegawai bertugas untuk ke balai perlepasan seterusnya. Maka, tiada isu kelewatan jemaah ke pintu pelepasan,” katanya pada sidang media Majlis Menandatangani MoU antara Andalusia dan Air Arabia, di sini.

Menurutnya, kejayaan Andalusia dalam mengurus jemaah turut disokong oleh lebih 230 agensi pelancongan perniagaan ke perniagaan (B2B) dari dalam dan luar negara yang aktif memasarkan pakej syarikat ke seluruh Malaysia.

“Andalusia amat menghargai kesetiaan dan kerjasama erat ini. Kami berharap hubungan ini akan terus diperkukuhkan.

“Selain itu, peningkatan jumlah penumpang yang menggunakan penerbangan AirArabia membuktikan pemahaman terhadap laluan transit di Sharjah semakin baik.

“Kita juga boleh terus ke destinasi lain. Jadi, apa yang ingin kami tekankan di sini ialah, jika ada yang mahu melancong, pergilah dengan harga yang berpatutan.

“Harga tiket ke destinasi tertentu kini lebih mampu milik. Sebelum ini kami telah ke Azerbaijan dan melihat sendiri potensinya. Kini, kita faham kelebihan penerbangan ini,” katanya.

Ida Riswana berkata, Andalusia memanfaatkan laluan strategik Air Arabia dari Sharjah untuk memperkayakan nilai ibadah jemaah melalui pelbagai inisiatif.

“Antaranya, perhentian singgah di Dubai dan Abu Dhabi yang membolehkan jemaah menikmati pengalaman moden dan Islamik sebelum ke Tanah Suci.

“Selain itu, pakej Umrah + Kaherah menawarkan lawatan ke tapak sejarah Islam terkenal seperti Masjid Al-Azhar dan makam sahabat Nabi, manakala pakej Istanbul Stopover memberi nilai spiritual tambahan dengan lawatan ke Masjid Biru dan Hagia Sophia.

“Andalusia akan membuka laluan Umrah baharu melalui Baku, Azerbaijan, serta beberapa negara Asia Tengah, menawarkan destinasi eksotik yang selamat dan Islamik,” ujarnya. – UTUSAN