JOHOR BAHRU: Semua ahli parti PKR di peringkat sayap dan akar umbi diingatkan supaya tidak membenarkan pihak tertentu ‘menebuk’ kapal yang telah dibina atas perjuangan yang penuh berliku.
Setiausaha Agungnya, Dr. Fuziah Salleh berkata, parti seharusnya menekankan politik khidmat, politik nilai, politik akhlak dan kenegaraan, namun bukan politik bersifat peribadi.
Menurutnya, ahli parti boleh berbeza pendapat, namun perlu sedar bahawa semua berada dalam ‘kapal’ sama bergerak menuju destinasi yang ingin dituju.
“Kalau bawa agenda peribadi, semua akan tenggelam, siapa yang akan tampal lubang yang ditebuk. Bukan mudah untuk bina kapal ini, bukan mudah nak pastikan ia selamat, kalau ditebuk, kita semua akan karam.
“Justeru, kita perlu bawa politik nilai, politik khidmat dan politik akhlak dan kenegaraan. Tak sama pendapat tak mengapa, kita lawan sama adik-beradik bukan musuh, tapi kita buat yang terbaik untuk parti sebab kita semua adalah Keadilan,” katanya semasa merasmikan Kongres Nasional Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Kongres Nasional Wanita di Hotel Berjaya Waterfront, di sini sebentar tadi yang turut dihadiri Ketua Wanita PKR, Fadhlina Sidek dan Ketua AMK, Adam Adli Abdul Halim.
Fuziah yang juga bekas Ahli Parlimen Kuantan berkata, Kongres Nasional Tahunan AMK dan Wanita PKR bukan pertemuan biasa-biasa, sebaliknya menjadi nafas perjuangan parti dan medan untuk menyemai iltizam.
Katanya, peranan sayap AMK dan Wanita PKR bukan hanya pelengkap, malah merupakan jentera parti dan merupakan generasi yang akan mewarisi perjuangan yang dimulakan sejak 27 tahun dahulu.
“Tiba masanya untuk kita sederap melangkah untuk memastikan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim kekal menjadi Perdana Menteri bagi penggal kedua. Kita ini merupakan ejen yang akan pastikan agenda ini akan terjadi. Madani bukan setakat slogan tapi penting untuk diterjemahkan. Dahulunya mereka panggil kita parti nyamuk, tapi hari ini Presiden kita adalah Perdana Menteri,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan tiada masa lagi untuk berlengah-lengah dalam usaha menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan datang, termasuk PRN Sabah dan Sarawak.
“Selepas Kongres Nasional Keadilan, PRN Sabah yang bakal berlangsung tidak lama lagi, PRN Sarawak tahun depan dan seterusnya Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16),” katanya. – UTUSAN