Setia jadi pengikut, jangan pecah-belah parti

Politik

JOHOR BAHRU: Semua pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang tewas atau tidak bertanding diminta setia menjadi pengikut demi kesejahteraan, bukannya memecah-belahkan perpaduan parti.

Calon Timbalan Presiden, Nurul Izzah Anwar berkata, beliau tiada masalah menjadi seorang pengikut kepada kepemimpinan akan datang, sekiranya tewas dalam pemilihan kali ini.

“Saya sudah beri peluang sepenuhnya sebagai seorang pengikut, saya tidak bertanding pada pemilihan lepas. Jadi, saya harapkan semangat sama apabila tiba giliran saya (menjadi pemimpin).

“Kita perlu teruskan kerja bersama, jangan terlalu berkira siapa di atas. Apa salahnya jika ambil positif sebarang keputusan yang dicapai bersama,” katanya pada Grand Finale: Bersama Membina Parti Kita di Hotel KSL di sini, hari ini.

Bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu berkata, semua ahli PKR perlu ikhlas apabila menjadi  pengikut tetapi tidaklah sehingga taat secara membuta tuli.

“Lihat rekod dan prestasi saya, saya bertanding empat kali di kawasan majoriti Melayu, Alhamdulillah saya menang tiga kali. Saya mungkin memilih berdiam diri dan tidak banyak bersuara tetapi percayalah saya akan lawan hingga hujung.

“Melihat keadaan kita ketika ini, percayalah musuh sebenar sedang bersorak, Jadi, walaupun ada rasa untuk menjawab (dakwaan pihak lain), tetapi kita perlu bertahan.

“Rafizi (Datuk Seri Mohd. Rafizi Ramli) sahabat saya, dulu sekarang dan sampai bila-bila, mungkin pendekatan kami berbeza tetapi untuk menjadi pemimpin kita perlu atasi ego sendiri, itu cabaran buat saya juga,” tegasnya.

Nurul Izzah mengakui, beliau memahami perasaan pihak yang tewas yang berasa sistem pemilihan seolah-olah sudah diatur dan tidak adil buat mereka.

“Kita pandang serius dakwaan tersebut, jangan ambil ringan sebarang aduan dibuat perwakilan, adalah penting aduan mereka didengari tetapi saya serahkan itu kepada Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP),” katanya. – UTUSAN