Sidang Kemuncak ASEAN berpotensi jana RM300 bilion FDI

Perniagaan

PETALING JAYA: Sidang Kemuncak ASEAN berpotensi menarik sehingga RM300 bilion pelaburan langsung asing (FDI) kepada ekonomi negara termasuk pasaran hartanah Malaysia menjelang 2030, menurut Juwai IQI.

Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Kashif Ansari berkata, integrasi yang lebih rapat di seluruh ASEAN boleh meningkatkan jumlah dagangan Malaysia dengan ketara kepada kira-kira RM3.869 trilion menjelang 2027, selain eksport negara boleh mencapai paras tertinggi sepanjang masa.

Katanya, unjuran menunjukkan RM2.133 trilion dalam volum eksport tahunan menjelang 2030 yang akan menghasilkan lebih banyak pekerjaan dan gaji yang lebih tinggi di Malaysia.

“Walaupun perjanjian yang terhasil daripada sidang kemuncak boleh menyebabkan negara menghantar lebih banyak barangan menjelang 2030, kita juga akan menerima lebih banyak FDI.

“FDI sepatutnya melebihi RM300 bilion dalam tempoh lima tahun akan datang, dengan wang itu disalur ke dalam inovasi, infrastruktur, pekerjaan dan hartanah tempatan,” katanya dalam kenyataan.

Kashif berkata, Sidang Kemuncak ASEAN menghimpunkan pemimpin serantau untuk mencari jalan untuk menyepadukan lagi ekonomi rantau ini dan menggalakkan perdagangan antara sekarang dan 2030.

Menurutnya, amat penting bagi negara-negara ASEAN untuk bekerjasama pada titik perubahan global ini kerana berdepan dunia yang rumit, dengan persaingan strategik global, teknologi baharu dan gangguan kecerdasan buatan (AI).

Jelasnya, perkara ini mencipta risiko tetapi juga memberikan peluang yang boleh direbut oleh negara-negara ASEAN bersama-sama.

“Pemimpin industri akan memerhati dengan teliti untuk melihat apa yang kita ada. Apa yang dipertaruhkan adalah perjanjian berpotensi yang boleh membantu menjadikan Malaysia lebih kaya menjelang 2030,” ujarnya.

Beliau berkata, tiga bidang utama penambahbaikan yang Sidang Kemuncak boleh meningkatkan ekonomi Malaysia adalah integrasi serantau, perpaduan ASEAN dalam perdagangan global dan FDI.

Jelasnya, perubahan dalam tiga bidang ini boleh bermakna ratusan bilion ringgit dalam perdagangan dan modal tambahan pada tahun-tahun akan datang.

“Keuntungan ekonomi yang saya bincangkan, sudah tentu, mempunyai kesan yang besar kepada pasaran hartanah Malaysia. Berdasarkan analisis IQI, aliran masuk FDI dalam tempoh ini akan menjana sekurang-kurangnya RM15 bilion dalam aktiviti hartanah baharu.

“Itu termasuk taman perindustrian, pusat komersial, hab logistik dan pembangunan perumahan. Untuk mencapai anggaran ini, kami menggunakan nisbah lima peratus konservatif.

“Dengan RM300 bilion FDI yang diunjurkan menjelang 2030, kami menganggarkan RM15 bilion, atau lima peratus, akan disalurkan ke dalam industri hartanah,” ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Program MBA, Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, FDI yang dijana oleh Malaysia akan berterusan meningkat setiap tahun dan akan melebihi RM60 billion bagi tahun 2025 dan mencecah RM100 billion dalam masa lima tahun.

Katanya, ini berdasarkan peningkatan FDI daripada RM38.63 bilion pada 2023 kepada RM51.53 bilion pada 2024.

“Sidang kemuncak ini mampu mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai hab perdagangan serantau kerana ia memberi keyakinan pelabur ke atas kemampuan negara menjadi peneraju kepada hubungan perdagangan yang lebih erat..

“Ini bukan sahaja dalam kalangan negara anggota ASEAN tetapi melibatkan rantau ekonomi yang berdekatan juga,” ujarnya. – UTUSAN