Gopi Rizqi kini jual popia carbonara

Sukan

PONTIAN: Selepas tular menjual air balang ketika Ramadan lalu, bekas pemain bola sepak kebangsaan, Mohammad Gopi Rizqi, 36, kini mencari rezeki de­ngan menjual popia carbonara.

Dia membantu isterinya, Siti Norhidayah Roslan, 38, yang sebelum ini menjual makanan itu secara dalam talian sebagai sumber pendapatan tambahan.

Katanya, terdapat tiga jenis popia carbonara dihasilkan iaitu ayam, daging dan campur de­ngan pasaran setakat ini di Johor Bahru dan Pontian.

“Saya kini menumpukan perhatian dengan membuat popia carbonara bersama-sama isteri setelah tidak menjual air balang seperti bulan Ramadan lalu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Isu tunggakan gaji bersama sebuah pasukan di ibu kota menyebabkan Mohammad Gopi menjual air balang di hadapan rumah keluarga isterinya di Kampung Api-Api dekat sini demi meneruskan kelangsu­ngan hidup.

Mengenai kerjaya bola sepak, Mohammad Gopi berkata, ada menerima jemputan membantu pasukan bola sepak sekolah rendah bagi menghadapi pertan­dingan bawah 12 tahun, namun belum ada akademi bola sepak tempatan mengundangnya.

Mohammad Gopi pernah menyarung jersi Sri Pahang FC dari 2010-2015, Selangor (2016), Johor Darul Takzim (JDT) (2017-2018), Melaka United (2018), Polis Diraja Malaysia (PDRM) (2019) dan kembali semula ke Pahang pada 2020.

“Saya mempunyai lesen kejurulatihan kelas D dan sekiranya diberikan peluang, mahu berkongsi pengalaman dengan murid sekolah atau sesiapa sahaja yang berminat dalam sukan bola sepak,” katanya. – UTUSAN