KUALA LUMPUR: Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), syarikat milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB), terus memperkasa budaya simpanan dan pelaburan dengan memperkenalkan kempen baharu, Labur & Level-Up yang menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM1.18 juta.
Kempen itu akan bermula pada 1 Jun 2025 hingga 31 Mac 2026 dan terbuka kepada semua pelabur ASNB yang melabur sekurang-kurangnya RM100, atau mendaftar untuk perkhidmatan Auto Labur dengan minimum RM50.
Menariknya, seramai 2,830 pemenang akan dipilih sepanjang tempoh kempen termasuk 118 pelabur bertuah yang berpeluang menikmati pengalaman eksklusif di Menara Merdeka 118 melalui pas istimewa yang ditawarkan.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif ASNB, Fadzihan Abbas berkata, kempen itu bukan sahaja memberi ganjaran kepada pelabur tetapi turut menggalakkan mereka mengekalkan tabiat menyimpan demi mencapai matlamat kewangan jangka panjang.
“Pelabur juga boleh menyempurnakan misi-misi tertentu dalam kempen ini untuk meningkatkan peluang memenangi lebih banyak hadiah, termasuk hadiah bulanan, bonus, suku tahunan dan utama,” katanya pada Majlis Penyampaian Hadiah Kempen #SimpanJe & Menang dan Kempen Seikhlas Wakaf di sini, semalam.
ASNB telah menganjurkan Kempen #SimpanJe & Menang dan #SimpanJe & Tambah pada 1 Januari hingga 31 Mac 2025 untuk memupuk amalan menyimpan dalam kalangan rakyat Malaysia selepas pengumuman pengagihan pendapatan tahunan.
Hasilnya, kempen #SimpanJe & Tambah berjaya memberi ganjaran kepada 30,000 pemenang dengan jumlah hadiah keseluruhan sebanyak RM1.6 juta yang dikreditkan terus ke akaun pelaburan mereka pada 10 Mei lalu.
Kempen tersebut menerima 17,000 penyertaan dengan jumlah hadiah bernilai RM500,000, termasuk pakej percutian atau umrah bernilai RM30,000 sebagai hadiah utama.
Dalam pada itu, ASNB turut menganjurkan Kempen Seikhlas Wakaf sepanjang tahun ini sehingga November bagi menggalakkan lebih ramai rakyat berwakaf secara mudah dan diyakini.
Bagi fasa pertama kempen wakaf ini, pemenang hadiah utama berjaya membawa pulang pakej umrah bernilai RM15,000 hasil penyertaan mereka.
Mengulas lanjut, Fadzihan berkata, usaha memperkenalkan platform wakaf ini bukan sahaja memberi manfaat kepada pewakaf, malah menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan umat Islam secara menyeluruh.
“Proses wakaf melalui ASNB diiktiraf oleh pihak berkuasa agama dan dilaksanakan secara mudah, cepat dan telus – inilah yang memberi keyakinan kepada lebih ramai orang untuk turut serta,” ujarnya.
Mengulas mengenai cabaran persekitaran ekonomi semasa, Fadzihan berkata, sepanjang tempoh 40 tahun penubuhannya, PNB setiap tahun dilihat telah berjaya memberikan pulangan yang konsisten, sesuai dengan kitaran persekitaran kewangan.
“Komitmen kami akan diteruskan untuk memberikan pulangan yang kompetitif pada setiap masa,” ujarnya. – UTUSAN