PETALING JAYA: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengalu-alukan penyertaan Brunei DPMM FC dalam saingan Liga Super bagi musim depan.
Ahli Lembaga Pengarah MFL, Datuk Hisamudin Yahaya berkata, DPMM FC akan bersaing dengan 13 lagi pasukan tempatan di Liga Super.
Katanya, penyertaan pasukan negara jiran itu adalah berstatus jemputan bagi memeriahkan lagi saingan Liga Malaysia (Liga M).
“Kita mengalu-alukan penyertaan Brunei DPMM, mereka juga sudah umum penyertaan mereka ke Liga Super kelmarin,” katanya.
Mengulas sama ada Brunei DPMM FC akan menyertai saingan Piala FA dan Piala Malaysia, Mohd. Hisamudin berkata, perkara itu belum diputuskan.
“Perkara itu (penyertaan Brunei di Piala FA, Piala Malaysia) kita akan putuskan kemudian. Kita akan bincang nanti,” katanya.
Sebelum ini, pengurusan Brunei DPMM FC mengumumkan penyertaan ke Liga Super Ketika memperkenalkan pemain baharunya yang juga bekas pertahanan penang FC, Fairuz Azizan.
“Fairuz Zakaria telah bersetuju untuk menyertai DPMM FC bagi menghadapi Liga Super Malaysia musim 2025/2026 akan datang.
“Pemain Brunei dan juga pemain Malaysia dianggap sebagai pemain tempatan untuk DPMM FC untuk musim MSL ini, yang merupakan satu berita yang sangat baik untuk kami.
“Beliau (Fairuz) adalah pemain Malaysia pertama yang akan berada dalam senarai DPMM,” kata pasukan berkenaan dalam satu kenyataan.-UTUSAN