PETALING JAYA: Graduan baharu di Malaysia kini menghadapi cabaran besar dalam pasaran kerja, terutamanya disebabkan oleh ketidaksesuaian antara kelayakan akademik dan jenis pekerjaan yang ditawarkan.
Fenomena ini dikenali sebagai ketidakpadanan kemahiran, di mana graduan bekerja dalam pekerjaan separa mahir atau tidak mahir yang tidak memanfaatkan sepenuhnya kemahiran dan kelayakan mereka.
Dapatan itu diperoleh melalui kajian dijalankan oleh Siri Wawasan Pasaran Buruh Malaysia bertajuk Ekonomi ‘Gaji Cukup Makan’: Apabila Pendidikan Tinggi Menjadi Risiko Ekonomi.
Pengarang laporan, Dr. Mohd. Yusof Saari, berkata, selain itu, graduan baharu di Malaysia kini banyak tertumpu dalam bidang sains sosial, perniagaan, undang-undang dan bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM), yang mewakili sekitar 80 peratus daripada jumlah graduan pada 2021.
“Bidang-bidang itu kini menunjukkan penurunan purata gaji, tanda awal ketepuan pasaran graduan dan lebihan bekalan dalam disiplin tertentu.
“Sebaliknya, bidang seperti kesihatan dan kesejahteraan menawarkan gaji yang lebih tinggi tetapi menghasilkan graduan yang lebih sedikit, mencerminkan ketidaksesuaian antara penawaran pendidikan dan penyerapan pasaran kerja,” katanya dalam laporan itu.
Dalam pada itu, Mohd.Yusof mendedahkan, ketidaksesuaian graduan adalah fenomena global yang turut berlaku di negara berpendapatan tinggi.
“Namun, di negara seperti United Kingdom, Jerman atau Belanda, tahap gaji yang lebih tinggi membantu mengurangkan impaknya, membolehkan graduan menikmati taraf hidup yang wajar walaupun bekerja dalam jawatan yang tidak sepenuhnya sepadan dengan kelayakan mereka.
“Di Malaysia, penampan seperti itu tidak wujud. Gaji graduan di Malaysia adalah rendah, baik dari segi nominal mahupun selepas diselaraskan dengan kuasa beli, yang memperburuk akibat ketidaksesuaian dan pengangguran separa mahir,” katanya.
Jelasnya, situasi ini meletakkan Malaysia dalam kedudukan yang amat terdedah.
Katanya, tanpa menangani kebuntuan gaji dan meningkatkan penyelarasan pekerjaan graduan, negara berisiko merosakkan matlamat ekonomi jangka panjangnya.
“Pulangan pendidikan yang rendah bukan sahaja mengurangkan motivasi individu untuk melanjutkan pelajaran tinggi, tetapi juga menjejaskan objektif nasional untuk membina ekonomi berkemahiran tinggi dan berinovasi.
“Oleh itu, perhatian dasar perlu beralih daripada angka kebolehpasaran umum kepada fokus pada kualiti pekerjaan, perkembangan gaji dan penyelarasan kemahiran sebagai tonggak utama pembangunan tenaga kerja graduan,” katanya.
Menurut laporan, antara 2015 dan 2019, gaji graduan meningkat secara sederhana di semua kumpulan umur, namun graduan muda di bawah umur 24 tahun mencatatkan peningkatan terkecil (+17.5 peratus).
Keadaan ini bertambah buruk dari 2019 hingga 2021, apabila kumpulan yang sama mengalami penurunan gaji sebanyak 24.3 peratus, menjadikan mereka kumpulan yang paling terdedah dalam pasaran buruh pasca-pandemik.
Penekanan gaji pada peringkat awal kerjaya menghadkan kebebasan kewangan dan meningkatkan pergantungan kepada keluarga atau pendapatan sampingan.
Corak gaji ini mengikuti ‘trajektori gaji tertunda’, di mana pendapatan signifikan hanya muncul selepas umur 35 tahun, kemungkinan disebabkan oleh senioriti dan pengkhususan.
Peningkatan gaji yang tertunda ini menimbulkan kebimbangan tentang pengekalan, motivasi, dan produktiviti profesional muda.
Data dari Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan bahawa pada tahun 2020, graduan muda mengalami penurunan gaji median sebanyak 25 peratus berbanding 2019, iaitu dari RM2,066 sebulan kepada RM1,550 sebulan.
Penurunan ini adalah yang paling teruk berbanding kumpulan umur lain dan mencerminkan kesan buruk pandemik terhadap pendapatan golongan muda. – UTUSAN