KUALA LUMPUR: Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) menempatkan lebih 1,000 reruai melibatkan 258 pempamer tempatan dan luar negara.
Pengerusi Pengelola PBAKL, Mohd. Khair Ngadiron berkata, terdapat 1,172 reruai dengan penyertaan daripada 230 pempamer tempatan serta 28 wakil negara luar.
Katanya, sambutan memberangsangkan itu selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pemberian Baucar Buku Madani pada anjuran pesta buku yang lalu.
“Tahun ini tempahan reruai sangat tinggi. Kita sampai terpaksa bina pavilion khas, ada marquee tent (khemah besar) dan juga membuka semua ruang di Pusat Dagangan Dunia kepada pempamer.
“Saya mengharapkan bahawa pesta buku ini bukan sekadar tempat jual beli buku, tapi lebih kepada usaha kita untuk memartabatkan bangsa yang mana seluruh keluarga boleh mendapat buku yang sesuai untuk mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa ditemui pemberita selepas Majlis Pembukaan Tirai PBAKL 2025, di sini.
PBAKL 2025 yang membawakan tema “Buku: Membaca, Memimpin” merupakan anjuran ke-42 pesta buku terbesar Asia itu.
Dalam pada itu, tambah Mohd. Khair, terdapat lebih 21 penyertaan daripada seluruh dunia termasuk negara anggota ASEAN, negara dari Timur Tengah dan United Kingdom (UK).
“Tahun ini kita ada 21 negara yang terlibat dan ini saya fikir antara perkara yang paling menarik kerana banyak sambutan daripada negara luar.
“Kita terima banyak. Daripada Iran, UK, semua negara ASEAN, negara Timur Tengah dan banyak lagi lah,” katanya.-UTUSAN