Saham Eco-Shop bermula cemerlang di Bursa Malaysia

Perniagaan

KUALA LUMPUR: Eco-Shop Marketing Bhd cemerlang dalam debut dagangannya di Pasaran Utama Bursa Malaysia apabila mencatatkan premium 12 sen kepada RM1.25, berbanding harga tawaran awam permulaannya (IPO) pada RM1.13.

Saham kedai rantaian runcit itu kemudian turun kepada RM1.21 pada pukul 9.05 pagi, selepas hampir 50 juta saham bertukar tangan.

Sehari sebelum penyenaraian, Nomura dan UOB Kay Hian memulakan liputan di Eco-Shop dengan panggilan “beli” dan harga sasaran RM1.35 hingga RM1.45.

Hasil kasar berjumlah RM974 juta, yang terbesar sejak IPO pengendali pasar mini 99 Speed ​​Mart Retail Holdings Bhd memperoleh RM2.36 bilion pada Ogos 2024.

Ketua Pegawai Kewangannya, Chong Yew Kai berkata, Eco-Shop optimis mampu terus menyampaikan prestasi kukuh tahun ini, meskipun selepas melaksanakan pelarasan harga daripada RM2.40 kepada RM2.60 baru-baru ini.

Menurutnya, Eco-Shop menyaksikan trend sama dari segi tingkah laku pengguna sebelum ini, sewaktu kali terakhir menaikkan harga jualan pada 2022.

“Baru sebulan harga dinaikkan dan kami masih lagi membuat pemantauan. Buat masa ini semuanya berjalan selari dengan jangkaan dan kami tidak melihat reaksi berbeza daripada pasaran.

“Sudah tentu ia masih lagi tempoh peralihan, menuju ke hadapan, kami masih melihat kepada prestasi kukuh bagi syarikat,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini, sempena penyenaraian Eco-Shop di di Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Berhad.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Eco-Shop, Jessica Ng berkata, Malaysia kekal sebagai pasaran utama, walaupun syarikat tidak menolak kemungkinan meneroka pasaran luar Asia Tenggara seperti Eropah sekiranya peluang sesuai muncul kelak.

“Malaysia masih mempunyai banyak potensi. Fokus kami adalah untuk memastikan lebih ramai rakyat Malaysia mendapat akses kepada produk berkualiti pada harga mampu milik,” katanya. – UTUSAN