PETALING JAYA: Seramai 104 pemain terdiri daripada 52 pasukan korporat memeriahkan kejohanan sulung Cabaran Golf Korporat Dunia (WCGC) Malaysia yang berlangsung di Kelab Golf Seri Selangor, semalam.
Kejohanan golf korporat berprestij dunia itu yang dianjurkan oleh Elora Global Sdn. Bhd. dengan Enotech sebagai penaja utama, menobatkan pasangan dari syarikat Megar Jaya 1, Syah Rizal Basri dan Mohd. Rizal Mohd. Sahibek sebagai juara selepas berjaya mengumpul 45 mata kiraan stableford.
Di tempat kedua menjadi milik pemain dari pasukan Event Pro Venture yang menampikan Hafizi Zainal dan Abdul Malik Hasim juga dengan kutipan 45 mata kiraan OCB.

Manakala tempat ketiga dihuni oleh pemain pasukan The NA Sales & Services terdiri daripada Nor Azhar Mohamad Noor dan Mohd. Izzad Ibrahim.
Draman dan Khairun dari syarikat Mega Bina Trading di tempat keempat, sementara Roslan Piei dan Megat Shariffudin Shaharuddin dari InfraSel Sdn. Bhd. di kedudukan kelima.
Kesemua mereka yang menang layak untuk beraksi di peringkat akhir iaitu Kejohanan National yang bakal berlangsung di Kelab Golf Kota Permai pada 25 September ini.
Menurut Enotech, dalam kejohanan akhir kebangsaan itu nanti, pasukan yang muncul juara bakal mewakili Malaysia di WCGC World Final, yang akan berlangsung di Kelab Golf PGA Anying, Shanghai, China dari 19 hingga 23 Oktober.
“Justeru, masih ada tiga pusingan lagi iaitu di Kelab Golf Tropicana, Glenmarie dan Templer Park. Janganlah lepaskan peluang ini untuk mewakili negara ke China nanti,” katanya.
Enotech berkata, WCGC sebenarnya membuka peluang syarikat korporat di Malaysia untuk berada di atas platform unik dan berdaya saing bagi memperkukuhkan hubungan dan jaringan perniagaan melalui sukan golf.
Selain Enotech, turut tampil sebagai penaja bersama ialah Konsortium Jaringan Selangor, Spectrum Outdoor, Simple Advantage, World Klang Group, KUSEL, Avisena Healthcare, Les Copaque Production Sdn. Bhd. serta Cuckoo Malaysia. – UTUSAN