Anwar akui luluskan permohonan ahli baharu bertanding

Politik

JOHOR BAHRU: Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengaku meluluskan semua permohonan dibuat ahli baharu yang mahu bertanding dalam Pemilihan PKR kali ini.

Bagaimanapun, beliau akan membawa cadangan Timbalannya, Datuk Seri Rafizi Ramli supaya kuasa itu dimansuhkan dalam mesyuarat tertinggi parti nanti.

“Tidak mengapa, nanti saya bawa dalam mesyuarat. Keputusan saya sendiri tidak mahu sebenarnya, saya sudah sebut dengan jelas dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP). 

“Tetapi ada (permohonan) dihantar ke pejabat saya dan saya luluskan semua kerana kalau luluskan sebahagian sahaja nanti akan jadi masalah. Semua yang sampai ke meja saya, saya luluskan, jadi tiada isu,” katanya kepada pemberita usai menunaikan tanggungjawab mengundi kepemimpinan baharu PKR  di sini hari ini.

Anwar yang juga Perdana Menteri berkata, semua permohonan berkaitan telah dibuat melalui tapisan dan proses yang diluluskan ibu pejabat PKR termasuk latar belakang, sama ada calon tersebut muflis atau mempunyai rekod jenayah.

Beberapa hari lalu, Rafizi menggesa PKR  memansuhkan kuasa khas presiden yang membolehkan ahli baharu bertanding dalam pilihan raya walaupun belum sampai setahun keahlian mereka.

Rafizi mendakwa kuasa tersebut telah mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan ahli akar umbi yang lama berjuang membina kekuatan parti sehingga berjaya membentuk Kerajaan Perpaduan.-UTUSAN