Aliff Omar dilantik Ketua Pegawai Eksekutif Ekuinas

Perniagaan

PETALING JAYA: Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas) mengumumkan pelantikan Aliff Omar Mohammad Omar sebagai Ketua Pegawai Eksekutif, berkuat kuasa hari ini.

Aliff Omar telah dilantik sebagai Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif pada 1 April 2025, selepas berkhidmat sebagai Pengarah Kanan, Pelaburan.

Sejak menyertai Ekuinas pada 2017, graduan dari Northwestern University dan University of Cambridge itu telah memainkan peranan yang penting dalam perkembangan dan transformasi syarikat, menerajui pelaburan dalam sektor tenaga, pengguna, dan teknologi.

Dengan pengalaman lebih 16 tahun dalam khidmat nasihat dan perundingan korporat dan penyusunan urus niaga, Aliff Omar mempunyai pemahaman yang mendalam tentang lanskap pasaran pertengahan di Malaysia.

Sebelum menyertai Ekuinas, beliau memegang jawatan-jawatan kanan di UBS AG, CIMB Investment Bank, dan Maybank Investment Bank, bertanggung jawap dalam khidmat nasihat dan rundingan urus niaga penting dalam bidang penggabungan dan pengambilalihan serta urus niaga pasaran modal di seluruh Asia Tenggara.

Beliau dihargai kerana visinya yang strategik, kepakarannya dalam bidang kewangan dan komitmennya terhadap mandat Ekuinas dalam menjana pulangan kewangan yang mampan serta memacu pertumbuhan ekonomi yang inklusif.

Pengerusi Ekuinas, Tan Sri Shahril Ridza Ridzuan mengalu-alukan pelantikan Aliff Omar dalam pengurusan tertinggi Ekuinas.

“Lembaga Pengarah yakin kepimpinan Aliff Omar akan mengukuhkan kedudukan Ekuinas dalam ekosistem modal persendirian di Malaysia dan akan memacu Ekuinas ke fasa seterusnya dengan impak strategik.

Sementara itu, mengulas mengenai pelantikan beliau, Aliff Omar berkata, Ekuinas kini memasuki fasa baharu yang penting di mana peranan Ekuinas akan berkembang selari dengan lanskap modal persendirian yang pesat berubah.

Katanya, dengan pengenalan kredit persendirian di akhir 2024, Ekuinas nekad, melangkaui akar umbinya dalam ekuiti persendirian dan mengembangkan platform kami dalam modal persendirian secara lebih luas.

“Evolusi ini mencerminkan aspirasi Ekuinas untuk menjadi pelabur modal persendirian secara lebih menyeluruh, serta mengembangkan sokongan terhadap perniagaan-perniagaan di Malaysia di setiap peringkat pertumbuhan, masing-masing dengan keperluan yang dinamik dan pelbagai.

“Kami akan terus melabur secara berdisiplin, beroperasi secara telus dan mencapai hasil yang bukan sekadar pulangan kewangan, memperkasa perniagaan, memperkukuh komuniti dan membuka pelbagai peluang bagi melahirkan generasi peneraju Malaysia yang akan datang,” katanya. – UTUSAN