PETALING JAYA: Kuota bagi Program Net Energy Metering (NEM) untuk kategori domestik atau NEM Rakyat akan ditambah sebanyak 100MW lagi, menjadikan jumlah keseluruhan kuota di bawah NEM Rakyat sejak pelaksanaannya pada tahun 2011 berjumlah 600MW.
Kuota sedia ada NEM Rakyat telah habis dilanggan dan memandangkan sambutan yang baik, Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) memutuskan untuk menambah kuota NEM Rakyat agar lebih
ramai pengguna domestik boleh memanfaatkan ruang bumbung bangunan untuk pemasangan sistem solar PV.
PETRA dalam satu kenyataan berkata, kuota tambahan ini dibuka kepada semua pengguna kategori domestik Tenaga Nasional Berhad (TNB) sehingga 30 Jun 2025 atau sehingga kesemua kuota habis diagihkan, yang mana terdahulu.
Garis Panduan terkini bagi Program NEM Rakyat boleh didapati melalui laman sesawang Suruhanjaya Tenaga di www.st.gov.my. Manakala maklumat lanjut mengenai permohonan Program NEM boleh didapati di laman sesawang SEDA Malaysia di www.seda.gov.my.
Penambahan kuota NEM Rakyat ini adalah selaras dengan hasrat Kerajaan untuk menggalakkan dan merakyatkan usaha peralihan tenaga melalui pemasangan sistem solar PV di rumah kediaman.
Selain Program NEM, pengguna yang ingin memasang sistem solar untuk kegunaan sendiri juga boleh berbuat demikian melalui Program Solar for Self-Consumption atau Program SelCo.
Manakala bagi pengguna domestik yang berhasrat memajak ruang bumbung untuk pemasangan sistem solar pula boleh menyertai Program Community Renewable Energy Aggregation Scheme atau Program CREAM yang ditawarkan oleh penjana dan agregator tenaga solar.
Pada masa yang sama, PETRA dan Suruhanjaya Tenaga selaku agensi kawal selia industri bekalan elektrik sedang mengkaji mekanisme dan kaedah baharu bagi pelaksanaan program solar di bumbung supaya inisiatif TBB yang bakal diperkenalkan ini lebih inklusif, adil dan bermanfaat kepada semua pengguna elektrik.
Dalam hubungan ini, PETRA sebagai agensi peneraju agenda peralihan tenaga negara komited dalam menambah baik dan memastikan pelaksanaan inisiatif TBB menerusi program pemasangan sistem solar di bumbung bangunan akan dilaksanakan secara menyeluruh selain menyokong aspirasi peralihan tenaga negara.
Aspirasi untuk mencapai 70 peratus kapasiti TBB dalam perbekalan elektrik negara menjelang tahun 2050 merupakan tonggak kepada pembangunan mampan yang mencerminkan usaha serius negara untuk memastikan kelestarian alam sekitar dan sumber tenaga. Sekali gus, ianya memenuhi tanggungjawab kepada generasi masa kini dan akan datang, sejajar dengan prinsip utama Malaysia MADANI. – UTUSAN