‘Tolak jemputan rasmi Kongres AMK, Wanita kerana sayap tidak beradab’

Politik

JOHOR BAHRU: Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli menolak jemputan merasmikan Kongres Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita PKR semalam kerana kedua-dua sayap parti itu menurutnya tidak beradab dengan melanggar proses dan hierarki parti.

Menurutnya, adalah tidak adil bagi mana-mana pihak menyangka dirinya akan menerima perbuatan tersebut dengan memenuhi jemputan sempena Kongres Nasional PKR kali ini.

“Setiap organisasi bergantung kepada adab dan hierarki, kepada proses dan prosedur. Jadi, adalah tidak adil apabila perkara itu dibuat untuk ketepikan saya dan menganggap saya terima semuanya.

“Mereka buat pelancaran kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang bertindih dengan jadual kempen pemilihan saya agar ahli-ahli tidak hadir. Sedangkan saya Timbalan Presiden dan Pengarah Pilihan Raya PKR.

“Izzah (Nurul Izzah Anwar) dan Amir (Datuk Seri Amirudin Shari) paksa PKR Sabah buat begitu. Bagi saya, itu adalah satu tindakan low blow, below the belt (tidak beretika),” katanya ketika ditemui selepas mengundi pada Pemilihan PKR di Hotel Berjaya Waterfront di sini hari ini.

Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan dalam pada itu berkata, beliau sedia menerima sebarang keputusan pemilihan hari ini, khususnya melibatkan jawatan Timbalan Presiden PKR yang ditandinginya bersama Nurul Izzah.

“Bukan soal menang kalah, tetapi sebarang keputusan saya akan terima. Tidak timbul soal taat kepada parti kerana sesiapa yang kalah akan terus bekerja untuk parti.

“Sebaliknya, intipati perjuangan asas PKR itu perlu dipertahankan, parti ini tertubuh atas kehendak dan gerakan rakyat, jangan sehingga kredibiliti parti dipertikai ahli dan juga masyarakat di luar,” tegasnya.

Beliau mengakui Nurul Izzah ada meminta untuk bertemu dengannya Selasa lalu untuk berbincang tentang pelbagai isu berbangkit sempena pemilihan kali ini.-UTUSAN