Tembok Besar China menanti Pearly-Thinaah di separuh akhir

Sukan

KUALA LUMPUR: Pearly Tan-M. Thinaah teruskan kemaraan, tetapi, beregu No. 4 dunia itu bakal berdepan lawan yang boleh disifatkan sebagai buku dengan ruas apabila beregu handalan China, Jia Yi Fan-Zhang Shu Xian menanti mereka di separuh akhir Malaysia Masters, esok.

Pada suku akhir, hari ini, Pearly Tan-M. Thinaah menewaskan beregu No. 9 dunia, Febriana Dwipuji Kusuma-Amalia Cahaya Pratiwi dari Indonesia 21-14, 21-14 dalam masa 34 minit di Axiata Arena.

Pemenang pingat emas Sukan Olimpik Paris, Yi Fan yang kini bergandingan dengan Shu Xian menundukkan satu lagi beregu Indonesia, Lanny Tria Mayasari-Siti Fadia Silva Ramadhanti 21-15, 15-21, 21-14 dalam masa 1 jam 6 minit.

Pearly berkata, amat penting untuk dia serta Thinaah memberikan lebih perhatian kepada perlawanan, esok dan pandangan jurulatih amat diperlukan bagi mencari rencah terbaik berdepan beregu China yang kini menghuni ranking ke-15 dunia.

“Saya harap, esok, kita akan lebih fokus dan lebih bagus. Kami perlu berbincang dengan jurulatih nanti dan kami perlu beri perhatian kepada permainan sendiri,” katanya ketika ditemui pemberita selepas perlawanan berakhir.

Katanya lagi, bermain di laman sendiri juga memberi kelebihan kerana penyokong sentiasa berada di belakang mereka.

“Memandangkan ini merupakan permainan di gelanggang sendiri, kami lebih bersemangat dan teruja untuk memburu tempat ke perlawanan akhir,” katanya.

Sementara itu, Thinaah pula berkata, kemenangan pada hari ini turut dibantu jurulatih yang duduk di belakang gelanggang menegur kesilapan mereka.

Untuk pertemuan separuh akhir, pemain berusia 27 tahun itu amat berharap dia dan Pearly dapat berehat secukupnya sebelum kembali berjuang, esok.

Berdasarkan rekod pertemuan, kedua-dua beregu terikat dengan keputusan seri 1-1, tetapi, dalam pertemuan terakhir berpihak kepada Yi Fan-Shu Xian yang melakar kemenangan straight set 21-15, 21-19 di Orleans Masters, Mac lalu.

Bagaimanapun, satu lagi perlawanan yang berpihak kepada Pearly-Thinaah pula diraih mereka menerusi kemenangan percuma pada Terbuka India, Januari lalu, selepas gandingan China itu menarik diri kerana kecederaan. – UTUSAN