PUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berpandangan, bumiputera Sabah dan Sarawak berhak menikmati peluang dan manfaat ekonomi yang sama seperti di Semenanjung Malaysia.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu berkata, usaha untuk menyamaratakan peluang ekonomi merupakan satu keperluan dalam memastikan keadilan dan keseimbangan pembangunan yang menyeluruh.
“Saya lihat Sabah, umpamanya memerlukan pemerhatian yang sangat mendalam daripada kita. Sarawak pula telah mengambil beberapa langkah proaktif menerusi pelaksanaan Majlis Ekonomi Bumiputera Sarawak dan kita lihat pencapaiannya.
“Biarpun masih ada ruang yang luas untuk dicapai, kita mesti menyamaratakan peluang ekonomi ini untuk bumiputera ini, sama ada bumiputera di Semenanjung apatah lagi di Sabah dan Sarawak,” katanya ketika ucapan penutupan sempena Sesi Permukiman Setahun Selepas Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024 di sini hari ini.
Sesi Permukiman Setahun Selepas KEB 2024 merupakan platform penilaian terhadap kemajuan pelaksanaan resolusi yang dicapai dalam kongres sebelum ini, dengan tumpuan khusus kepada keberkesanan intervensi dasar dan program ekonomi untuk bumiputera.
Terdahulu, Ahmad Zahid berkata, sejak Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35) dilancarkan tahun lalu yang merangkumi 132 ikhtiar, ia sudah mencapai kejayaan pelaksanaan sebanyak 15.7 peratus.
Dalam pada itu, beliau berkata, Kerajaan Persekutuan akan membantu supaya agenda yang diterapkan Majlis Bumiputera Sabah dapat dilaksanakan.
Beliau turut menambah, tuntutan memperkasa ekonomi bumiputera juga bukanlah satu bentuk diskriminasi, sebaliknya merupakan pelaksanaan hak yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Kita tidak perlu bersikap apologetik dalam hal ini. Kita bukan menuntut sesuatu yang bukan hak, sebaliknya kita sedang melaksanakan hak yang telah diperuntukkan,” katanya. – UTUSAN