Selamatkan negara daripada rasuah, penyelewengan

Politik

JOHOR BAHRU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa negara ini perlu diselamatkan daripada ancaman rasuah dan penyelewengan.

Tegasnya, justeru pihak yang terlibat dalam penyelewengan dan rasuah perlu dikenakan tindakan keras kerana jenayah itu merosakkan negara.

“Nak ambil tindakan tidak berani, kalau ambil tindakan berdendam, orang itu kumpul puluh-puluh bilion ringgit hidup selesa. Nak jadi pemimpin boleh tapi jangan kaut.

“Negara ini perlu diselamatkan. Mahu jadi pemimpin boleh, tapi jangan jadi pemimpin yang kaut kekayaan untuk diri dan keluarga mereka. Negara ini perlu diselamatkan, ini tekad kita,” katanya semasa merasmikan Program Madani Rakyat 2025 (Johor) di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

Anwar berkata, kerajaan memerlukan sokongan golongan muda yang bencikan penyelewengan, rasuah, penindasan dan kezaliman.

Dalam pada itu, beliau berkata, konsep pembangunan sebenar bukan sekadar membina bangunan pencakar langit atau mengejar pertumbuhan ekonomi, pembangunan insan yang berilmu, beradab dan berakhlak.

“Seringkali apabila disebut pembangunan, kita bayangkan pertumbuhan ekonomi, pembangunan bandar, pencakar langit, lebuhraya dan pelbagai infrastruktur baharu. Namun, untuk apa semua itu?

“Tujuan sebenar pembangunan adalah untuk membangunkan manusia. Bukan sekadar tubuh fizikal, tetapi manusia yang berilmu, berakhlak, mempunyai nilai, dan berperasaan.

“ Apa maknanya kita bina bangunan tinggi, jika dalamnya dihuni oleh manusia yang ganas, rakus, angkuh dan menekan sesama sendiri? Apa makna negara maju jika rakyatnya hidup dalam kebencian,” katanya.

Beliau turut menggesa golongan muda untuk memainkan peranan dalam memberi contoh kepada masyarakat berkaitan makna sebenar kemajuan.-UTUSAN