Azam berani siasat tauke, layak terajui SPRM – Anwar

Politik

JOHOR BAHRU: Tan Sri Azam Baki merupakan individu tepat menerajui Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika ini disebabkan keberaniannya menyiasat tauke-tauke besar.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, itu merupakan perkembangan baharu yang sebelum ini tidak dilihat dalam agensi penguatkuasaan tersebut.

Justeru, beliau meminta masyarakat terus menyokong SPRM dalam usaha membersihkan negara ini daripada rasuah dan salah guna kuasa.

“Saya tak nafi teguran, tetapi percayalah melihat kepada perkembangan SPRM sejak puluhan tahun lalu, ini merupakan kali pertama SPRM berani menggeledah tauke-tauke besar. Ini adalah kenyataan.

“Saya boleh ganti (Tan Sri Azam Baki) esok, tetapi saya tidak yakin individu yang baharu itu berani singgung tauke-tauke besar yang miliki wang berbilion. Jadi, saya mohon rakyat berilah ruang sekejap kepada orang yang telah diamanahkan ini,” katanya semasa merasmikan Kongres Nasional PKR di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, di sini sebentar tadi.

Beliau yang juga Presiden PKR boleh memaafkan insiden atau ketidakadilan yang berlaku terhadap dirinya, namun tidak dapat memaafkan kesalahan dilakukan terhadap rakyat Malaysia.

“Kamu pukul aku, telanjangkan aku, kacau keluarga dan kawan-kawan, saya maafkan. Tetapi kamu curi wang rakyat saya tak dapat maafkan, itu harus dipulangkan semula kepada rakyat. Jadi, beri ruang sementara kita cari pengganti yang kita yakin dan berani di dalam SPRM, tetapi buat masa ini kita harus beri sokongan kepada agensi itu untuk bersihkan negara,” katanya.

Terdahulu, Azam Baki sekali lagi diberi mandat menerajui SPRM selepas disambung kontrak perkhidmatan bagi tempoh satu tahun mulai 13 Mei lalu.

Keputusan tersebut menerima kritikan pelbagai pihak, khususnya kepimpinan parti pembangkang. – UTUSAN