JOHOR BAHRU: Menteri Besar Selangor, Datuk Amirudin Shari dan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berjaya mempertahankan jawatan Naib Presiden PKR dalam pemilihan parti hari ini.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang turut berjaya mengekalkan jawatan Naib Presiden PKR, manakala Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, R. Ramanan merupakan muka baharu memenangi jawatan itu.
Amirudin memperoleh 7,955 undi, diikuti Ramanan (5,895), Aminuddin (5,889) dan Lih Kang (5,757).
Berdasarkan keputusan itu, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad gagal mempertahankan jawatan Naib Presiden yang dipegangnya sejak 2022.
Pada pemilihan kali ini, seramai 12 ahli PKR bersaing merebut empat tempat bagi jawatan tersebut.
Sementara itu, Dr. Fadhlina Sidek turut berjaya mempertahankan jawatannya sebagai Ketua Wanita dengan meraih 2,890 undi.
Timbalannya, Juwairiya Zulkifli juga berjaya mengekalkan jawatannya apabila memperoleh 2,760 undi.
Jawatan Naib Ketua Wanita pula dimenangi Rozana Zainal Abidin yang mendapat 2,610 undi, diikuti Loh Ker Chean (2,608) dan Datin Rufinah Pengeran (2,598).
Angkatan Muda Keadilan (AMK) pula diterajui Muhammad Kamil Abdul Munim yang menang tanpa bertanding. – UTUSAN