ASEAN perlu pelan ekonomi seperti RMK, perkasa blok serantau

Perniagaan

KUALA LUMPUR: ASEAN disaran meningkatkan kerjasama ekonomi dan politik ke tahap lebih tinggi menerusi pelaksanaan pelan strategik ekonomi serantau seperti Rancangan Malaysia (RMK) bagi memperkasa blok serantau itu dalam menghadapi cabaran masa depan.

Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, cadangan itu bertepatan dengan kedudukan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 yang berpotensi memainkan peranan penting sebagai pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi rantau ini.

“Ini khususnya dalam bidang ekonomi digital tanpa sempadan yang meliputi sektor e-dagang, teknologi kewangan (fintech) dan logistik.

“Malaysia turut berpeluang menyelaras pelaburan langsung asing FDI) ke ASEAN dan menyalurkannya ke negara sesuai bagi pembangunan teknologi, termasuk tenaga boleh diperbaharui sejajar kekayaan sumber alam rantau ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mengulas dari sudut geopolitik, beliau berkata, kedudukan strategik ASEAN meletakkan blok itu sebagai pemain penting dalam menangani isu-isu serantau yang kritikal seperti konflik hak asasi manusia di Myanmar, ketegangan di Kepulauan Spratly serta hubungan tegang antara China dan Filipina, selain China dan Taiwan.

Katanya, hubungan erat antara kepimpinan tertinggi negara-negara ASEAN yang telah terjalin selama berdekad perlu diperkukuh dan dipertingkat ke tahap lebih bersepadu bagi merealisasikan visi dan misi ASEAN ke arah keamanan, kestabilan dan kemakmuran serantau.

“Setiap negara anggota mempunyai kekuatan tersendiri yang boleh dimanfaatkan secara kolektif seperti Singapura memiliki sistem kewangan antara terbaik di dunia, manakala Myanmar dan Timor-Leste kaya dengan sumber semula jadi.

“Penyatuan kelebihan ini melalui pelan pembangunan infrastruktur dan ekonomi serantau yang holistik berupaya merangsang pelaburan bukan sahaja dari luar, tetapi lebih penting dalam kalangan negara ASEAN sendiri.

“Selain itu, usaha menyelaraskan pembangunan ekonomi antara negara anggota juga perlu diberi perhatian bagi memastikan pertumbuhan yang seimbang dan inklusif,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd., Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid menjangkakan Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) tahun ini akan membuka lebih banyak ruang kerjasama, khususnya dalam platform Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) yang diwujudkan sejak 2015.

“Dalam konteks semasa yang menyaksikan dasar ekonomi bersifat proteksionis semakin berkembang, terutamanya di Amerika Syarikat (AS) ASEAN perlu lebih erat dalam mengangkat suara secara kolektif semasa berunding dengan kuasa-kuasa besar.

“Perbincangan bagi menggalakkan perdagangan intra-ASEAN juga perlu diperkukuh, terutama dalam sektor tenaga boleh diperbaharui, sekuriti makanan, ekonomi digital serta logistik yang akan kekal menjadi tonggak utama perbincangan dalam kalangan negara anggota,” katanya. – UTUSAN