TH Plantations catat untung bersih RM12.8 juta

Perniagaan

PETALING JAYA: TH Plantations Berhad (THP) mencatatkan keuntungan bersih berjumlah RM12.8 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2025, susut sedikit berbanding RM13 juta yang direkodkan dalam tempoh sama tahun lalu.

Pendapatan bagi suku dikaji meningkat 14 peratus kepada RM179.1 juta, disumbangkan terutamanya oleh harga purata jualan yang lebih tinggi bagi minyak sawit mentah (CPO), isirung sawit (PK) dan buah tandan segar (FFB), meskipun jumlah jualan bagi ketiga-tiga produk utama ini mencatatkan penurunan.

Keuntung sebelum cukai (PBT) Kumpulan menurun sebanyak 7.6 peratus kepada RM25.5 juta, disebabkan oleh keuntungan nilai saksama yang lebih rendah ke atas aset biologi, kerugian pertukaran mata wang asing belum direalisasi, serta kekurangan penuai buah sawit yang
Berkemahiran.

Sekiranya tidak mengambil kira kesan keuntungan nilai saksama yang lebih rendah ke atas aset biologi dan kerugian pertukaran mata wang asing belum direalisasi, PBT operasi Kumpulan sebenarnya meningkat sebanyak 37 peratus berbanding suku yang sama tahun lalu.

Bekalan minyak sawit menunjukkan peningkatan baru-baru ini, namun harga CPO kini berada pada paras terendah bagi tahun ini dan sebagai pemain huluan, prestasi THP sangat dipengaruhi oleh turun naik harga CPO.

THP kekal optimistik dan berwaspada terhadap prospek industri, disokong oleh permintaan global yang stabil terhadap minyak sawit.

Kumpulan turut mengambil langkah posisi hadapan bagi mengurangkan ketidaktentuan dan penyusutan harga CPO.

Ketua Pegawai Eksekutif THP, Mohamed Zainurin Mohamed Zain berkata, kumpulan akan terus memberi tumpuan terhadap inisiatif peningkatan hasil, mekanisasi dan pengoptimuman kos demi memperkukuh daya tahan operasi, sejajar dengan AL-Falah 22/22 – Pelan Strategik Perniagaan Lima Tahun THP.

“Antara strategi utama termasuk memperluas program penanaman semula dengan bahan tanaman berproduktiviti tinggi, mempercepatkan usaha pendigitalan, serta memperkukuh pematuhan ESG selaras dengan piawaian kelestarian global.

“THP komited untuk terus menyampaikan nilai jangka panjang kepada para pemegang taruh sambil memastikan pertumbuhan operasi yang mampan dan bertanggungjawab,” katanya dalam kenyataan.

Dengan andaian tiada halangan luar jangka, kumpulan menjangkakan prestasi kewangan yang memuaskan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 dan kekal optimis terhadap keberkesanan strategi serta inisiatif yang sedang dilaksanakan dalam menangani cabaran semasa. – UTUSAN