MFL, FIB buat keputusan berani, tepat

Sukan

PETALING JAYA: Tindakan tegas First Instance Body (FIB) dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) tidak meluluskan permohonan Lesen Kebangsaan Kedah Darul Aman(KDA) FC dan Perak FC adalah satu keputusan tepat.

Pemerhati bola sepak tempatan, Prof Madya Dr Zulakbal Abd Karim berkata, keputusan berani FIB itu amat dialu-alukan kerana tidak sepatutnya memberi kelonggaran kepada pasukan yang tidak layak beraksi atas faktor kewangan yang lemah.

“Keputusan yang diumumkan oleh FIB dan MFL adalah tepat kerana kedua-dua pasukan ini secara rasmi tidak akan beraksi dalam Liga Super musim hadapan. Mereka gagal memenuhi kriteria kewangan serta tidak melengkapkan dokumen yang diperlukan,” katanya.

Terdahulu, FIB mengumumkan KDA FC dan Perak FC gagal memenuhi kriteria kewangan yang ditetapkan oleh Peraturan Perlesenan MFL, sekali gus menyebabkan permohonan mereka untuk beraksi dalam saingan Liga Super ditolak

Bagaimanapun, Zulakbal mengakui ia satu kehilangan besar bagi arena bola sepak tempatan apabila dua pasukan bersejarah seperti Kedah dan Perak terpaksa diketepikan, tetapi menegaskan kestabilan kewangan adalah keutamaan demi menjaga kebajikan pemain.

“Saya harap Kedah dan Perak dapat bangkit kembali dengan perancangan lebih baik selepas ini,” tambahnya.

Mengikut rekod, MFL mengumumkan 11 kelab Liga Super dan dua pasukan Liga A1 berjaya memperoleh Lesen Kebangsaan untuk musim 2025-2026 selain Brunei menjadi pasukan jemputan.

Kelab Liga Super yang mendapat kelulusan penuh adalah Johor Darul Ta’zim FC (JDT), Selangor FC, Penang FC, Kuching City FC, Sabah FC, Terengganu FC, Sri Pahang FC dan Negeri Sembilan FC.

Bagaimanapun, tiga kelab iaitu Kuala Lumpur City FC, Kelantan Darul Naim FC dan PDRM FC diberikan Lesen Kebangsaan dengan ‘sanction’ (bersyarat) mengikut artikel 8(l) MFL CLR.-UTUSAN