Keputusan bukan seperti diharapkan – Nik Nazmi 

Politik

PETALING JAYA: “Keputusan kali ini bukanlah apa yang seperti kami harapkan,” demikian luahan bekas Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nik Nazmi Nik Ahmad yang gagal mempertahankan jawatan itu bagi pemilihan kali ini.

Nik Nazmi berkata, beliau sudah berjuang habis-habisan dan amat menghargai dedikasi pasukannya sepanjang kempen pemilihan.

Kata Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam itu, dia akan terus berkhidmat kepada tanah air dengan sepenuh jiwa dan raga. 

“Kini, tibalah masanya untuk kita mengetepikan segala perbezaan dan bersama-sama memastikan PKR keluar daripada ujian kuasa ini dengan idealismenya tetap utuh, membawa visi serta agenda untuk terus berkhidmat dan mengangkat martabat rakyat.

“Selamat memikul amanah dan menjalankan tugas kepada kepemimpinan baharu parti kita,” katanya menerusi hantaran di platform Facebook. 

Bagi Naib Presiden PKR, tiga penyandangnya iaitu Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari; Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang berjaya mempertahankan jawatan tersebut.

Muka baharu bagi jawatan itu diisi oleh Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan.  

Pada masa sama, Nik Nazmi turut mengucapkan terima kasih kepada semua perwakilan yang telah mengundi dirinya dalam pemilihan kali ini. – UTUSAN