UMNO tidak tamak, hormati kuota jawatan menteri PKR

Politik

KUANTAN: UMNO tidak tamak untuk memohon dua jawatan menteri dalam Kabinet sekiranya jawatan tersebut dikosongkan berikutan kekalahan dua menteri dalam pemilihan PKR, semalam.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, jawatan tersebut adalah kuota untuk PKR.

“Itu adalah kuota untuk mereka. Jadi saya tidak fikir UMNO begitu tamak untuk memohon jawatan itu diberikan kepada UMNO. Kita bersyukur kerana ada tujuh menteri UMNO dalam barisan jemaah menteri sekarang,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Eastern International TVET Pahang di Pusat Komersial Bandar Gambang, di sini hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, UMNO tidak seharusnya campur tangan dalam urusan parti lain.

“Tentunya Datuk Seri Anwar Ibrahim (Perdana Menteri) akan melakukan sesuatu yang terbaik agar kerajaan yang sedia ada dan anggota jemaah menteri dapat terus bergerak seiring sejalan untuk menentukan pengukuhan Kerajaan Madani,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, UMNO bersedia  menerima sekiranya parti terbabit mahu jawatan itu diberikan kepada UMNO.

“Itu hak mereka, kita tidak boleh campur tangan, kita tahu batas-batas permintaan kita. Tetapi kalau jawatan itu mahu diberikan kepada UMNO, kita menadahkan sebuah padang bola untuk menerima tawaran itu.

“Lain padang, lain belalang. Padang kita adalah padang UMNO dan Barisan Nasional (BN). Maka kita tidak perlu melihat padang di tempat lain,” katanya.

Beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada Nurul Izzah Anwar atas kejayaannya memenangi jawatan Timbalan Presiden PKR menumpaskan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli yang menyandangnya  sebelum ini. – UTUSAN